KUALA KRAI – Keluarga angkat hanya sempat berbual beberapa jam dengan arwah Muhammad Hakim Mohd.Razid, 27, sebelum mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 107, Jalan Kota Bharu-Gua Musang melibatkan tiga kenderaan petang semalam.
Arwah yang menemani isterinya, Nur Adila Sulaiman, 27, bersama Siti Nur Najihah Yasin dan Siti Nabila Draman, 27, dalam perjalanan ke Besut, Terengganu untuk menghadiri kenduri perkahwinan rakan mereka.
Ibu angkatnya, Noorlida Mustaffa, 56, berkata, anak angkatnya yang bertugas di Sarawak bersama suaminya tiba di rumahnya di Kampung Bahgia Bangi, Kajang, Selangor, kira-kira pukul 12 tengah malam untuk bermalam.
Menurutnya, arwah Muhammad Hakim yang memandu kereta Perodua Axia milik anak sulongnya Emy Nur Suryati, 29, bertolak dari rumahnya kira-kira pukul 9 pagi semalam untuk mengambil Siti Nabila yang berada di Puchong.
“Saya mengetahui anak angkatnya terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kuala Krai selepas dihubungi oleh seorang penduduk, Alias Mohamad, 47, yang berada di lokasi kejadian.
“Sebaik mendapat perkhabaran itu, saya bersama suami Yasin Shamsudin, 58, bertolak ke Kuala Krai untuk melihat keadaan anak saya Siti Nur Najihah yang turut cedera parah termasuk mengalami pendarahan di kepala, patah paha dan belakang badan dan telah ditidurkan dan dirawat di Unit Rawatan Rapi(ICU),” katanya ketika ditemui media di Unit Forensik, Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai, di sini.-KOSMO! ONLINE