PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengenang legasi Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sempena ulang tahun keputeraan Bapa Kemerdekaan negara, hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar menyifatkan Almarhum Tunku Abdul Rahman bukan sekadar pemimpin yang membawa negara mencapai kemerdekaan, tetapi juga simbol perpaduan dan kesepakatan dalam membentuk identiti nasional yang harmoni.
“Keghairahan Almarhum Tunku dalam memastikan negara ini kekal aman dan harmoni harus terus menjadi inspirasi kepada kita semua, terutama dalam menghadapi cabaran masa kini,” katanya hari ini.
Anwar menegaskan bahawa dalam mengemudi Malaysia Madani, beliau berpegang teguh kepada nilai-nilai yang diwariskan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman iaitu perpaduan, integriti dan keadilan untuk semua.
“(Saya) bertekad untuk meneruskan perjuangan demi negara yang lebih sempurna serta makmur buat semua,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan bahawa sumbangan Almarhum Tunku Abdul Rahman akan terus menjadi inspirasi dalam menjunjung nilai perpaduan dan keamanan yang membentuk kesatuan negara.
“Semoga legasi Almarhum Tunku terus menjadi panduan dalam usaha kita membina negara yang lebih baik untuk generasi mendatang,” katanya.
Perdana Menteri turut mendoakan agar Allah SWT melimpahkan ihsan dan rahmat ke atas ruh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. – KOSMO! ONLINE