SEBERANG PERAI – Kementerian Pendidikan (KPM) menjalankan siasatan teliti berkaitan syarikat yang masuk ke sekolah untuk mengadakan program kewangan buat warga pendidik.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata isu berkenaan diberikan perhatian khusus kerana ia bukan sahaja melibatkan penjawat awam malah guru-guru.
“Kita tidak pernah bagi kebenaran pun untuk syarikat-syarikat yang ada unsur ‘scam’ ini untuk masuk ke sekolah kita.
“Sebab itu perkara ini kita sedang siasat dengan teliti bagaimana mereka boleh masuk sampai ke premis-premis KPM dan kita percaya barangkali mereka masuk (sekolah) dengan kebenaran individu, bukan kebenaran rasmi.
“Kita juga sudah pun menyerahkan perkara ini ke peringkat pihak berkuasa dan diharapkan ia dapat disiasat dengan segera supaya nasib penjawat awam khususnya guru-guru dapat dibela,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan sumbangan kelengkapan sekolah menerusi Program Ceria Ke Sekolah TNB 2025 di Nibong Tebal, di sini hari ini.
Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, kawalan keselamatan di sekolah ditingkatkan bagi memastikan fasiliti di bawah kementerian itu tidak terdedah kepada sebarang ancaman.-KOSMO! ONLINE