BANGKOK – Thailand menimbus sebanyak 64.7 tan durian selepas China tidak menerima ‘raja buah’ itu kerana dicemari bahan pewarna kuning, lapor portal berita VNExpress kelmarin.
Menurut akhbar The Nation, Jabatan Pertanian Thailand mengesahkan bahawa buah-buahan itu mengandungi bahan pencelup kuning asas dua selepas ujian dilakukan.
Bahan pencelup itu digunakan untuk menyerlahkan warna durian.
Beberapa pengeksport dipercayai mencelupkan buah durian ke dalam pewarna tiruan supaya kelihatan masak dan isinya berwarna kuning.
Thailand telah menggantung lesen eksport 26 pemborong durian yang dikaitkan dengan penghantaran buah tercemar.
Penemuan pewarna itu mendorong China melaksanakan ujian makmal mandatori ke atas semua import durian, termasuk dari Vietnam.
Hanya makmal yang diluluskan oleh pemerintah China diberi kuasa untuk melakukan ujian itu.
Vietnam sedang giat berunding dengan China untuk mengembangkan senarai makmal yang diluluskan untuk memudahkan pelepasan kastam yang lebih lancar.
Nilai import durian China ialah AS$6.99 bilion (RM31 bilion) pada tahun lepas, dengan 57 peratus datang dari Thailand diikuti Vietnam sebanyak 41.5 peritus. – AGENSI