fbpx

25 ‘bikers’ sahut seruan kembara 2,000 Selekoh Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Johari ketika acara pelepasan konvoi Program 2,000 Selekoh Malaysia di Kampung Baru di sini hari ini. KOSMO!/SYAKIR RADIN

KUALA LUMPUR – Pengembara dua dan empat roda serta peminat permotoran yang mahukan kelainan serta cabaran dalam penjelajahan terutamanya kawasan luar bandar diseru untuk menyertai program ‘2,000 Selekoh Malaysia’.

Program yang diinspirasikan daripada ‘Thousand Corners’ di Thailand ini akan menyaksikan 25 buah motosikal dan 25 penunggang dari Malaysia, Singapura dan Brunei menempuh lebih 2,000 selekoh sepanjang 1,425 kilometer merentasi enam negeri di Semenanjung Malaysia iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Perak, Kelantan dan Negeri Sembilan.

Jelajah tersebut bermula hari ini hingga 11 Februari nanti yang mana destinasi terakhir mereka adalah di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Jalan Ampang, di sini, kira-kira 5.30 petang.

Menurut Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, program ini berperanan sebagai daya tarikan baharu dalam sektor pelancongan seiring dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Pelaksanaan program ini adalah sebagai tanda sokongan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot kepada ‘bikers’.

“Program ini dilihat berpotensi meningkatkan minat orang ramai termasuk dari luar negara tanpa mengira peringkat umur,” kata Ahli Parlimen Titiwangsa itu ketika merasmikan Pelepasan Konvoi 2,000 Selekoh Malaysia di parkir kereta Kampung Baru, di sini, hari ini.

Sementara itu, Shaharuddin berkata, program ini juga seharusnya diketengahkan dan dipromosikan menerusi segala platform media sosial bagi memikat perhatian ramai.

“Negara jiran juga mempunyai program seperti ini dan diharapkan ia dapat bersaing untuk menarik minat pelancong ke dalam negara bagi melihat sendiri lokasi luar bandar yang mendapat kurang pendedahan masyarakat,” jelasnya.

Menurut Pengerusi Kelab Fast Bikes, Fadzlaini Ibrahim, program itu turut membantu menyumbang pembangunan sosio-ekonomi negara yang mana secara tidak langsung mempromosikan pelancongan luar bandar seperti penginapan, makanan, produk tempatan, percutian keluarga gaya berbeza dan membantu ekonomi peniaga kecil di sepanjang laluan.

“Industri permotoran bakal menjadi antara penyumbang kepada perkembangan pelancongan negara. Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, program 2000 Selekoh Malaysia ini akan membantu negara bagi menambah jumlah statistik pelancong antarabangsa. Banyak lokasi dan aktiviti pelancongan luar bandar yang perlu terus diterokai, hayati dan dihargai oleh seluruh rakyat.

“Bagi menjayakan dan melancarkan lagi program empat hari tiga malam ini, kumpulan sokongan dari Angkatan Pertahanan Awam (APM), sebuah ambulans dan dua buah kenderaan pacuan empat roda turut serta sehingga tamat misi ‘2000 Selekoh Malaysia’,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI