JEMPOL – Gara-gara bertengkar akibat insiden kemalangan, 10 lelaki warga tempatan berusia 21 hingga 43 tahun ditangkap polis kerana merusuh dalam kejadian di Taman ACBE, Bahau di sini malam semalam.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu kira-kira pukul 10 malam sebelum anggota polis yang tiba di lokasi kejadian mendapati beberapa individu sedang bertengkar.
“Tiga mangsa diserang menggunakan topi keledar. Kesemua suspek yang ditangkap di sekitar Bahau serta lokasi kejadian dari pukul 11 malam hingga 3 pagi tadi ditahan reman selama empat hari bermula hari ini.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan. Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi memandangkan masih dalam siasatan,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya ke balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Jempol di talian 06-4582222, Bilik Gerakan Jempol 06-4583449, atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Umu Fatihah Sulaiman di talian 019-555 3065. – KOSMO! ONLINE