TOKYO – Pasukan penyelamat Jepun menemukan trak yang terperangkap di bawah tanah selepas ‘ditelan’ lubang benam gergasi pada minggu lalu, lapor portal berita Japan Times semalam.
Gabenor Wilayah Saitama, Motohiro Ono berkata, pemandu berusia 74 tahun itu bagaimanapun masih hilang.
Operasi mencari dan menyelamat bertambah sukar disebabkan kehadiran gas hidrogen sulfida serta sisa kumbahan yang mengalir deras di dalam paip, selain lubang benam semakin membesar sehingga mencapai diameter 40 meter.
Kemalangan itu berlaku apabila sebahagian jalan di sebuah persimpangan dekat bandar Yashio runtuh, menyebabkan trak dan pemandunya terjatuh ke dalam lubang pada 28 Januari lalu.
“Walaupun kabin lori itu berjaya ditemukan, pemandunya masih hilang setakat ini.
“Ini adalah satu langkah ke hadapan. Keadaan masih sangat mencabar tetapi kami mengharapkan keajaiban,” kata Ono kepada pemberita.
Pihak berkuasa sedang bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk menentukan pendekatan terbaik pada masa hadapan. – AGENSI