GEORGE TOWN – Beberapa ekor kucing ditemukan mati dalam keadaan menyayat hati di dalam tong sampah di Jelutong, di sini kelmarin.
Kesemua kucing itu ditemui di dalam beg plastik berwarna hitam di dalam tong yang ditempatkan berhampiran kawasan flat.
Video keadaan bangkai kucing yang dibungkus di dalam beg plastik yang dimuat naik ke media sosial turut mendapat perhatian pengguna media sosial.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kelmarin, kira-kira pukul 4.29 petang.
“Kes ini telah diklasifikasikan sebagai Rujuk Lain Agensi (RLA) dan dirujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pulau Pinang untuk tindakan lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang, Dr. Saira Banu Mohamed Rejab berkata, pihaknya telah turun ke tempat tersebut untuk siasatan awal.-KOSMO! ONLINE