fbpx

Tapir maut dirempuh BMW3, Perodua Myvi di LPT2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan bangkai tapir yang mati akibat dirempuh dua kenderaan di KM 317, LPT 2 berhampiran Kerteh, Kemaman hari ini.

KEMAMAN – Gara-gara mengelak seekor tapir yang tiba-tiba melintas jalan, dua kereta terlibat dalam kemalangan di Kilometer 317, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Kerteh di sini hari ini.

Kemalangan pada pukul 6.30 pagi tersebut telah meragut nyawa haiwan dilindungi yang diancam kepupusan tersebut.

Pemandu kereta Perodua Myvi berusia 29 tahun pula cedera ringan pada bahagian kening manakala pemandu kereta BMW3 pula terselamat tanpa kecederaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhamad Wan Ja’afar berkata,
siasatan awal mendapati kemalangan berpunca selepas tapir berkenaan dikatakan tiba-tiba melintasi lebuh raya.

“Sebuah kereta BMW3 yang dalam perjalanan ke Kuantan, Pahang dari Kuala Terengganu gagal mengelak lalu merempuh tapir terbabit.

“Haiwan liar berkenaan kemudiannya tercampak jauh ke laluan bertentangan sebelum dirempuh pula sebuah kereta Perodua Myvi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Wan Muhamad berkata, impak rempuhan tersebut menyebabkan kereta Perodua Myvi terbabit terbalik.

Beliau berkata, lelaki yang memandu kereta Perodua Myvi yang cedera telah dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman di sini untuk menerima rawatan.

“Bangkai tapir tersebut telah diambil Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu bagi tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI