PETALING JAYA – Generasi muda ketika ini suka mengagungkan makanan negara lain berbanding makanan tempatan meskipun ia jauh berkhasiat.
Umpamanya Kimchi iaitu hidangan sayur-sayuran dengan kombinasi bawang putih, bawang merah dan cili berasal dari Korea.
Namun, tidak ramai yang tahu bahawa makanan tempatan seperti budu, tempoyak, tapai dan pekasam juga kaya dengan probiotik semula jadi.
Menerusi perkongsian di laman Facebook Public Health Malaysia (PHM), budu kaya probiotik, asid amino, dan antioksidan, manakala tempoyak pula bagus untuk sistem pencernaan serta penuh bakteria baik.
“Tapai pula dapat meningkatkan tenaga dan bantu sistem penghadaman. Sementara itu, pekasam pula fermentasi ikan yang menambah nilai pemakanan,”kata PHM.
Menurut hantaran itu lagi, seperti kimchi, makanan ini juga ada kelemahan terutama kandungan garam tinggi yang perlu dikawal.
“Tapi kalau diambil secara sederhana, ia boleh menjadi sebahagian daripada diet sihat anda.
“Tak perlu pergi jauh cari kimchi, makanan kita pun penuh khasiat dan kaya budaya! Anda team mana? Budu, tempoyak, tapai, atau pekasam?,”soal PHM.-KOSMO! ONLINE