PETALING JAYA – Jika ada mana-mana lelaki yang mahu mendampingi aktres jelita, Sharifah Rose, pastikan anda merupakan seorang yang aktif bersukan.
Menurut Sharifah Rose atau nama lengkapnya Sharifah Rose Sabrina Syed Mohd Mazfira, 27, antara ciri-ciri lelaki idamannya adalah mereka yang aktif bersukan dan menjalani kehidupan yang sihat.
“Betul saya sukakan lelaki yang aktif dalam sukan. Lelaki yang bersukan ini mempunyai tubuh yang fit. Barulah nampak handsome kalau tengok dari jauh.
“Tak mahulah lelaki yang tak jaga badan, nanti perut dia boroi macam mana? Kita mengandung, dia pun ‘mengandung’ juga,” katanya ketika ditemui di pertunjukan fesyen Summer Raya 2025 Rico Rinaldi, di sini semalam.
Selain mengagumi lelaki yang aktif bersukan, pelakon drama bersiri Do You Love Me, Captain? Itu juga sangat menitikberatkan soal adab dan tata susila dalam soal menetapkan kriteria lelaki idaman hati.
“Saya suka lelaki yang bertanggungjawab rajin dan bekerja keras. Dia mestilah seorang yang lemah lembut dan menghormati orang tua. ‘Family man’ lah orang kata,” katanya.
Namun kata anak sulung daripada dua beradik ini, dia akan cuba mengelak daripada lelaki yang bertubuh sasa.
“Biasanya lelaki yang bertubuh sasa ini mesti panas baran. Saya pula sejenis yang lemah lembut. Nanti siapa pula nak pujuk saya,” katanya berseloroh.
Dalam perkembangan lain, Rose yang kini menjalin hubungan istimewa dengan pelakon Ezzrin Loy itu bersiap siaga menghitung tempoh berehat daripada bidang lakonan sebagai persediaan menyambut bulan Ramadan awal bulan depan.
“Selalunya bulan puasa memang saya tak akan ambil tawaran berlakon kerana amat memenatkan. Saya pernah bekerja pada bulan Ramadan dahulu. Akhirnya ke laut. Jadi lebih baik saya berehat sahaja sepanjang Ramadan.” katanya.