ISKANDAR PUTERI – Sepasang suami isteri menjadikan sebuah kereta Proton Wira Aeroback sebagai ‘rumah’ untuk berselindung daripada hujan panas sejak dua bulan lalu.
Pasangan itu mengambil keputusan untuk tinggal di dalam ‘rumah’ usang itu selepas kesempitan hidup dan berdepan masalah kewangan sehingga terpaksa tinggal di dalam kereta berpindah-randah.
Kisah pasangan itu mendapat perhatian sebelum dikongsikan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd. Jafni Md Shukor di Facebooknya hari ini.
“Semalam ketika solat zuhur di Masjid Kota Iskandar, saya dimaklumkan ada sepasang suami isteri yang telah bulan bulan tinggal di dalam kereta berpindah randah kerana terpaksa mengosongkan rumah sewa atas faktor kesempitan hidup dan masalah kewangan.
“Saya telah memaklumkan perkara ini kepada Pwngerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin-Nisa Ismail dan Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid untuk membantu pasangan suami isteri ini,” tulisnya.
Mohd. Jafni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai memberitahu, pihaknya juga telah meminta pegawai Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor untuk segera menempatkan pasangan ini di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai dibawah unit kecemasan PKPJ.
“Sebelum magrib petang semalam dengan bantuan pihak MAIJ dibawah penyelarasan Mohd Fared pasangan ini dipindahkan ke PPR Kempas.
“JKM dibawah penyelarasan Khairin Nisa juga akan memberikan bantuan yang bersesuaian bagi memastikan pasangan ini boleh meneruskan hidup mereka,” katanya.
Beliau menjelaskan kerajaan negeri akan berusaha sehabis baik memastikan kebajikan rakyat Johor dijaga.
“Semoga pasangan ini akan terus kuat semangat meneruskan hidup mereka,” tulisnya.-KOSMO! ONLINE