BUKAN sekadar memiliki wajah jelita, pelakon Harissa Adlynn merupakan seorang yang aktif melaksanakan aktiviti kebajikan sejak remaja.
Bagaimanapun, pemilik nama lengkap Harissa Adlynn Abdul Halim, 21, menafikan riyak atau menunjuk-nunjuk apabila berkongsi pembabitannya dalam kerja amal menerusi media sosial.Terpulang kepada individu itu sendiri. Memang ada yang pilih untuk tidak kongsi, mungkin mereka takut disalah erti. Persepsi orang ini pelbagai dan tidak semuanya baik.
“Saya sendiri tidak kisah. Bila rasa mahu kongsi, saya sekadar muat naik untuk gunakan pengaruh yang ada bagi ajak pengguna media sosial sama-sama membuat kebajikan.
“Tak pernah pula rasa nak menunjuk-nunjuk atau riyak. Sebenarnya lebih ramai yang hendak ikut serta, tanya bagaimana mahu bantu dan sumbang. Kita kena lihat semuanya dari sudut positif,” katanya semasa majlis kebajikan anjuran All Star Influencer (ASIA).
Berkongsi lanjut, pelakon drama Dedaun Hijau Di Angin Lalu itu turut memaklumkan aktiviti kebajikan yang disertai sedikit sebanyak membantu menguatkan jiwanya yang mudah tersentuh.
“Saya ini memang mudah menangis, tengok video kucing pun saya boleh menangis. Jadi jangan buat saya menangis, sebab itu saya selalu sertai program kebajikan sebab mahu ‘ajar’ diri.
“Tidak semua kita dilahirkan dalam keadaan senang. Ada yang diuji dengan pelbagai dugaan.
“Jadi saya sentiasa bersyukur dan bantu mereka yang memerlukan apabila ada waktu senggang,” ujarnya lagi. – KOSMO! ONLINE