PETALING JAYA – Seorang banduan sempat mengucup wajah bapanya yang meninggal dunia buat kali terakhir.
Menerusi perkongsian oleh Akim Juntai II di Facebook, banduan berkenaan yang dijadualkan dibebaskan tidak lama lagi hanya sempat bertemu bapanya dalam keadaan tidak bernyawa.
“Semoga kau kuat, sahabat. Patutnya 14 Februari ini aku tunggu kau di rumah. Kita boleh jumpa semua ayah ibu, kumpul macam dulu dan tengok kau gembira.
“Tapi kali ini aku tunggu kau untuk tengok sedihnya kau kehilangan seorang ayah tercinta. Allah sayang kau, sebab itu dia menguji kau. Sentiasa kuat, sahabat,” tulisnya di hantaran tersebut.
Banduan itu kemudian dilihat turut mengiringi jenazah ke dalam van sebelum dibawa ke tanah perkuburan untuk proses pengebumian.
Rata-rata netizen meluahkan rasa sebak dan bersimpati dengan nasib yang menimpa banduan berkenaan, malah ramai turut berkongsi pengalaman kehilangan insan tersayang.
“Rezeki dia dapat cium buat kali terakhir, siap boleh usung jenazah sang ayah. Tak semua orang ada kesempatan begini. Apapun salahnya, ini semua Allah sudah izinkan,” ujar Sri Rahayu.
“Alhamdulillah abang, walau dalam tahanan, masih dapat cium dan usung keranda jenazah. Saya hanya tinggal beberapa kilometer nak sampai rumah, tapi tak sempat cium atau usung keranda ayah saya sebab jalan jem. Sampai rumah, semua dah selesai,” luah Walid Dira.
“Ya Allah, sebaknya. Salam takziah, semoga tabah ya. Ingat, dunia memang tempat diuji, akhirat kita kekal. Semoga abang tu sentiasa kuat,” tambah Beaa Bet. -KOSMO! ONLINE