JOHOR BAHRU – Bekas suami kepada Jahidah Nordin membuat permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 10 tahun yang dikenakan ke atasnya, 9 Disember tahun lalu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Hakim Datuk Abu Bakar Katar bagaimanapun menetapkan 25 Februari depan sebagai keputusan permohonan yang dibuat Rosmaini Abd Raof, 42, sementara menunggu rayuan terhadap sabitan dan hukuman didengar dan diputuskan Mahkamah Tinggi.
Abu Bakar menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya, Juanita Mohd Said dan Siti Fatimah Yahya dan peguam, Kamal Hisham Jaafar dan Muhammad Nor Tamrin, yang mewakili Rosmaini sebagai pemohon.
Kamal Hisham berhujah wujudnya keadaan istimewa atau khas supaya perintah penggantungan pelaksanaan hukuman penjara itu diberikan terhadap pemohon.
“Keadaan istimewa itu adalah ini adalah kesalahan pertama pemohon selain terdapat persoalan undang-undang yang rumit iaitu percanggahan antara akuan bersumpah dan laporan polis oleh saksi pendakwaan yang perlu diputuskan mahkamah.
“Isu undang-undang ketiga adalah ketika perbicaraan kes ini di Mahkamah Sesyen tidak ada seorang pun saksi mata yang melihat kejadian itu dikemukakan pihak pendakwaan,”katanya.
Sementara itu, Juanita menyanggah hujahan dikemukan pihak pembelaan dengan memberitahu keadaan yang dihujahkan peguam pemohon bukannya keadaan istimewa atau khas sebaliknya adalah keadaan biasa, yang sudah diputuskan Hakim Mahkamah Sesyen sebelum ini.
“Mangsa dalam kes ini melahirkan bayinya dalam keadaan koma dan sehingga kini masih terlantar akibat kecederaan parah yang dialami.
“Kes ini telah mendapat perhatian dan menggoncang ketenteraman masyarakat dan ia masih diikuti orang ramai sehingga kini.
“Jika mahkamah menimbangkan ia kesalahan pertama pemohon tanpa melihat keseriusan kes ini, dibimbangi ia akan menyebabkan kemarahan masyarakat sekali gus merendahkan keyakinan mereka terhadap sistem kehakiman kita,”hujannya.
Terdahulu, Rosmaini bergari diiringi pegawai penjara kelihatan tenang ketika hadir ke mahkamah bagi mendengar permohonannya.
Mahkamah Sesyen di sini pada 9 Disember tahun lalu menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun selepas didapati bersalah mencederakan isteri ketiganya sehingga parah.
Kes keganasan rumah tangga yang berlaku ke atas Jahidah, 47, yang kini terlantar koma seperti mayat hidup mendapat perhatian selepas dibelasah bekas suaminya itu dalam kejadian di sebuah rumah di Larkin, di sini, 4 Mei 2021.
Jahidah yang berusia 43 tahun ketika itu dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Aminah (HSA).
Wanita itu yang merupakan kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengalami kecederaan parah dengan tengkorak kepalanya terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak dipercayai dipukul.
Pada 29 November 2021, Jahidah selamat melahirkan melahirkan bayi lelaki secara pembedahan kira-kira pukul 9 malam di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, Negeri Sembilan.
Pada 15 Mac tahun lalu, Mahkamah Rendah Syariah Seremban dilaporkan membenarkan permohonan fasakh yang dikemukakan keluarga Jahidah pada 1 Februari 2023.-KOSMO! ONLINE