fbpx

PTP labur dalam 58 kren elektrik eRTG, tingkat kecekapan operasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mark Hardiman dan Cecilia Shen, ketika memeterai perjanjian di PTP baru-baru ini.

PETALING JAYA – Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), syarikat usaha sama antara Kumpulan MMC Corporation Berhad (MMC) dan APM Terminals, mengorak langkah strategik dengan menandatangani perjanjian bersama Shanghai Zhenhua Heavy Industry Co., Ltd. (ZPMC) bagi memperoleh 58 kren gantri beroda elektrik (eRTG).

Majlis menandatangani perjanjian itu berlangsung di PTP pada Isnin lalu antara Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mark Hardiman dan Naib Presiden ZPMC, Celilia Shen Qiu Yuan.

Pengerusi PTP, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh, berkata kontrak dengan ZPMC ini adalah sebahagian daripada strategi syarikat untuk memastikan PTP terus dilengkapi jentera moden bagi menyokong permintaan pelanggan dan mengekalkan statusnya sebagai hab transshipment utama di Malaysia serta rantau ini.

“Pelaburan ini penting dalam menjamin ketersediaan dan keupayaan jentera eRTG dalam memenuhi perkembangan kapasiti, kestabilan operasi, kemampanan prestasi lapangan kontena

“(Ia juga termasuk) penambahbaikan berterusan jentera-jentera eRTG sedia ada,,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Mark Hardiman menegaskan bahawa inovasi dan penambahbaikan jentera merupakan agenda utama syarikat dalam usaha meningkatkan kecekapan operasi dan keselamatan terminal.

“Dengan kren baharu, kami juga boleh mengurus permintaan pelanggan dengan lebih baik dan mengendalikan jumlah kargo yang lebih banyak, terutamanya di waktu puncak dan membolehkan operasi terminal berjalan dengan lebih lancar dan pantas.

“Selain itu, kren elektrik baharu ini juga sedia automasi dan boleh diselenggera semula untuk diautomatikkan sepenuhnya pada masa hadapan,” jelasnya.

Sementara itu, Celilia Shen menyatakan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan oleh PTP dan mengesahkan bahawa pihaknya akan memastikan penghantaran kren mengikut jadual yang dipersetujui.

Kesemua 58 kren eRTG itu dijangka dihantar dalam lima fasa, bermula dari Mac hingga Julai 2026.

Pelaburan ini dibuat susulan pencapaian memberangsangkan PTP sepanjang tahun lalu, termasuk menjadi terminal kontena pertama di Malaysia yang mencatatkan lebih 12.5 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU) dalam tempoh setahun.

Selain itu, PTP turut berjaya mengendalikan lebih 1 juta TEU sebulan secara konsisten selama tujuh bulan berturut-turut sejak Mei tahun lalu.

Prestasi cemerlang ini turut diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila PTP disenaraikan sebagai pelabuhan kontena kelima paling cekap di dunia dalam Indeks Prestasi Pelabuhan Kontena 2023 oleh The World Bank dan S&P Global Market Intelligence.

Pada tahun yang sama, PTP turut menduduki tempat ke-15 sebagai pelabuhan paling sibuk di dunia, menurut laporan Lloyd’s List. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI