fbpx

Pesara rugi RM3.2 juta, terjerat iklan pelaburan saham di Facebook

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Seorang pesara swasta mengalami kerugian RM3.2 juta akibat terpedaya dengan sindiket yang menyiarkan iklan pelaburan saham di laman Facebook.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor menerima satu laporan polis di daerah Petaling Jaya berkaitan kes penipuan pelaburan saham yang melibatkan mangsa berusia 77 tahun.

“Hasil siasatan awal mendapati pada penghujung bulan November tahun lalu, mangsa telah berminat untuk menyertai pelaburan saham di laman Facebook yang dikenali sebagai EFA Trade, iaitu syarikat pelaburan antarabangsa yang berpusat di Singapura.

“Mangsa dijanjikan pulangan yang lumayan dan telah diyakinkan untuk membuat pelaburan dalam 27 kaunter saham,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, mangsa kemudiannya diminta untuk membuat 15 transaksi bayaran melibatkan tiga akaun bank yang berbeza berjumlah RM 3.21 juta.

“Pada penghujung bulan Januari lalu, pihak EFA Trade menyatakan pelaburan tersebut akan ditutup dan setiap pelabur dikehendaki membayar komisen sebanyak 15 peratus dari hasil keuntungan untuk membolehkan para pelabur mengeluarkan keuntungan.

“Hasil pelaburan mangsa telah mencecah RM22 juta yang ditunjukkan dalam aplikasi EFA Pro,” ujarnya.

Katanya, mangsa menyedari dirinya ditipu selepas mendapati dokumen pelaburan yang diberikan kepadanya adalah palsu.

“Mangsa mengalami kerugian sebanyak RM3.21 juta disebabkan membuat pelaburan saham di syarikat EFA Trade.

“Modus operandi yang digunakan oleh suspek adalah dengan memperdayakan mangsa melalui iklan pelaburan di Facebook,” katanya.

Ujarnya, polis membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Masyarakat diingatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap tawaran-tawaran pelaburan dalam platform media sosial yang menjanjikan pulangan yang tidak munasabah, khususnya melalui aplikasi-aplikasi kewangan atau pelaburan yang tidak diluluskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

“Orang ramai yang mengesyaki sebarang panggilan yang mencurigakan boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 untuk semakan, nasihat atau aduan,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI