fbpx

Pesara rugi RM2.2 juta, ‘termakan’ ajakan kenalan Facebook labur kripto

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SUBANG JAYA – Seorang pesara berputih mata selepas menerima ajakan kenalan di Facebook untjk melabur dalam mata wang kripto sehingga mengalami kerugian lebih RM2.2 juta.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor menerima satu laporan polis di daerah Subang Jaya berkaitan kes penipuan pelaburan kripto dalam talian melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 70 tahun.

“Hasil siasatan awal mendapati, pada bulan Oktober tahun lalu, mangsa telah berkenalan dengan seorang lelaki tempatan menerusi aplikasi Facebook yang menawarkan satu pelaburan kripto.

“Kemudian, mangsa telah dimasukkan ke kumpulan WhatsApp ‘UVKXE’, di mana mangsa dijanjikan keuntungan yang besar sekiranya menyertai pelaburan tersebut,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa telah membuat transaksi sebanyak 18 kali ke dalam pelbagai akaun bank yang berlainan dengan jumlah keseluruhan RM2,210,136.

“Selepas pembayaran, mangsa tidak menerima keuntungan yang dijanjikan.

“Pihak polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau memberi peringatan kepada masyarakat umum supaya sentiasa berwaspada terhadap tawaran-tawaran pelaburan dalam platform media sosial yang menjanjikan pulangan yang tidak munasabah, khususnya melalui aplikasi-aplikasi kewangan atau pelaburan yang tidak diluluskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Orang ramai yang mengesyaki sebarang panggilan yang mencurigakan boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 untuk semakan, nasihat atau aduan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI