PETALING JAYA – Pengantin baharu yang digelar ‘Menara Berkembar Petronas’ melalui detik duka apabila pasangan wanitanya telah meninggal dunia, malam tadi.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, pasangan berkenaan menjadi perhatian ramai apabila suami dan isteri itu masing-masing memiliki ketinggian luar biasa iaitu 195 dan 186 sentimeter (cm) sehingga diumpamakan seperti Menara Berkembar Petronas.
Kematian wanita yang dikenali sebagai Syahirah itu dimaklumkan oleh adiknya, hari ini bahawa kakaknya meninggal dunia kira-kira pukul 11 malam tadi.
“Assalamualaikum, saya Wani adik kepada Syahirah (pemilik TikTok) nak beritahu, Scha baru sahaja meninggal dunia pada 6 Februari malam Jumaat dalam pukul 11 malam.
“Mohon sedekahkan al-Fatihah, maafkan segala salah silap Scha. Kalau ada Scha berhutang, mohon beritahu atau halalkan,” katanya.
Orang ramai rata-rata menzahirkan rasa terkejut dengan berita berkenaan selain ada yang menyifatkan wanita itu seorang yang baik hati.
“Kemas kini Instagram Story pun tak habis lagi 24 jam pasal majlis kahwin dia. Al-Fatihah,” komen @yanskz.
“Hari tu baru FYP (Four Your Page) yang dia kahwin. Meninggal sebab apa?,” soal @fyzapaqis.
“Ya Allah dia baik sangat. Saya pernah berbual dengan dia,” ujar @Eykin. – KOSMO! ONLINE