SEPANG – Pelumba pasukan Monster Energy Yamaha, Fabio Quartararo tidak rela reputasinya sebagai bekas juara dunia terus tercalar menjelang saingan musim baharu kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP).
Quartararo meletakkan sasaran cukup tinggi pada saingan 2025 nanti apabila menampilkan aksi cukup baik pada sesi shakedown dan ujian rasmi yang sedang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Walaupun mengakui Yamaha mula menunjukkan peningkatan jika dibandingkan dengan prestasi musim lalu, namun pelumba Perancis itu percaya masih banyak perlu diperbaiki bagi membolehkan mereka kembali mencabar kejuaraan dunia.
“Saya dapat rasa bahawa saya sudah benar-benar bersedia dan kami perlu melangkah satu tapak ke depan berbanding saingan musim lalu. Saya juga sudah lebih cergas kerana tidak henti-henti berlatih ketika rehat sebelum ini.
“Pada musim lalu, saya tetap anggap kami menamatkan saingan dengan cukup baik kerana sentiasa layak ke sesi kelayakan kedua (Q2) selain bersaing dalam kelompok tujuh atau lapan teratas,” katanya.
Sementara itu, dia juga gembira dengan kehadiran Pramac Racing sebagai pasukan satelit Yamaha kerana mereka boleh memanfaatkan kepakaran mekanik yang pernah membantu Jorge Martin menjadi juara dunia musim lalu.
“Ia satu perkembangan cukup baik kepada pasukan kerana Yamaha dan Pramac bersama-sama membangunkan jentera. Kepakaran kedua-dua pasukan mampu beri manfaatk cukup besar kepada kami,” ujar Quartararo. – AGENSI