JOHOR BAHRU – Kesukaran untuk mengumpulkan duit deposit menyewa rumah di sekitar bandar raya ini yang mencecah lebih RM5,000 membuatkan sepasang suami isteri memilih untuk tinggal di dalam kereta Proton Wira Aeroback sejak dua bulan lalu.
Pasangan itu mengambil keputusan untuk tinggal di dalam ‘rumah’ usang itu selepas kesempitan hidup dan berdepan masalah kewangan ekoran pendapatan sebagai penjual air dan buah kepala tepi jalan di sekitar akhir tahun lalu disebabkan musim tengkujuh.
Faiq Mat Jaya, 39, yang bekerja sebagai penghantar makanan berkata, dia dan isterinya, Rohana Abu Bakar, 43, dia bersyukur apabila Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Jafni Md. Shukor tampil membantu menyediakan rumah sewa di PPR Kempas Permai di sini.
“Sebenarnya saya terkejut selepas kehidupan saya dan isteri menjadi viral selepas mendapat perhatian YB Datuk Mohd Jafni dan dia sedia membantu menyediakan rumah sewa kepada kami, terima kasih.
“Sebelum ini kami menyewa di Gelang Patah, Iskandar Puteri namun sebab pendapatan merosok menyebabkan kami mengambil keputusan untuk keluar rumah dan pemilik rumah sewa tersebut mahu tinggal di rumah yang disewa itu.
“Nak cari rumah sewa baharu, harga rumah sewa di sekitar JB amat tinggi, sewa rumah sebulan dah RM1,500, nak kena cari deposit tiga bulan, tolak tambah kena ada RM5,000, mana kami nak cari,”katanya ketika ditemui di PPR Kempas Permai di sini.
Faiq mendirikan rumah tangga dengan Rohana pada tahun 2019 namun belum dikurniakan cahaya mata.
Menurutnya, sepanjang tempoh dua bulan berbumbungkan ‘rumah’ Proton Wira terpakai yang dibeli sejak berusia 20 tahun, dia dan isterinya sering berpindah-randah lokasi untuk berehat.
Katanya, adakalanya mereka beristirehat di Masjid Kota Iskandar dan Surau Nusa Perintis sebagai tempat untuk mandi dan menguruskan diri.
“Sepanjang tempoh itu juga, saya dan isteri bekerja sebagai penghantar makanan dengan pendapatan paling kurang RM12 sehari.
“Kami bersyukur dapat berlindung dalam kereta meskipun sempit namun masih ada tempat untuk berteduh, orang lain lagi berat ujian mereka, dalam kubur lagi sempit.
“Kami makan ala kadar sahaja sekadar mana yang termampu, kami hidup berdua senang nak uruskan makan minum, kadang-kadang beli makanan bungkus berkongsi dua untuk berjimat,”katanya.
Terdahulu, Mohd Jafni berkongsi kisah duka pasangan itu menerusi laman sosial Facebook miliknya menyantuni suami isteri itu.
“Semalam (kelmarin) ketika solat zuhur di Masjid Kota Iskandar, saya dimaklumkan ada sepasang suami isteri yang telah bulan-bulan tinggal di dalam kereta berpindah-randah kerana terpaksa mengosongkan rumah sewa atas faktor kesempitan hidup dan masalah kewangan.
“Saya telah memaklumkan perkara ini kepada Pwngerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin-Nisa Ismail dan Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid untuk membantu pasangan suami isteri ini,” tulisnya.
Mohd. Jafni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai memberitahu, pihaknya juga telah meminta pegawai Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor untuk segera menempatkan pasangan ini di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai dibawah unit kecemasan PKPJ.-KOSMO! ONLINE