fbpx

K2

Lima kaedah bantu anak cepat membaca

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LUANGKAN masa untuk membaca bersama anak-anak. – Gambar hiasan

MEMBACA adalah kemahiran yang wajib dikuasai oleh semua orang.

Tanpa kemahiran itu kita seperti orang buta.

Oleh itu, penekanan kepada kemahiran membaca perlu diterapkan sejak kecil di rumah dan bukannya ketika melangkah masuk ke alam persekolahan.

Setiap kanak-kanak mempunyai tahap perkembangan minda yang berbeza.

Ada yang cepat belajar dan ada juga memerlukan sedikit masa serta perhatian untuk membolehkan mereka menguasainya. Sehubungan itu, ibu bapa menggalas tanggungjawab besar dalam proses membesarkan anak-anak termasuklah membentuk mereka menjadi insan berilmu.

Minggu ini, K-Wanita kongsikan lima cara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk membantu anak-anak cepat membaca dengan lancar.

 

Belajar dengan nyanyian lagu

IBU bapa perlu mencipta suasana yang menggembirakan untuk menarik minat anak-anak belajar seperti memasukkan elemen nyanyian dan tarian supaya mereka tidak berasa tertekan serta bosan. Oleh itu, cari lagu-lagu bersesuaian yang boleh membantu anak-anak mengenal huruf berserta bunyi supaya otak mereka cepat ‘tangkap’ dan membaca dengan lancar.
Terdapat banyak bahan nyanyian khas untuk anak-anak cepat membaca yang boleh dipilih oleh ibu bapa.
Bagaimanapun, semua usaha ini memerlukan dedikasi dan komitmen yang tinggi daripada ibu bapa supaya anak-anak cepat membaca dan tidak ketinggalan mengejar ilmu.

Guna alat bantu mengajar

PADA masa kini terdapat banyak alat bantu mengajar yang disediakan untuk membantu ibu bapa mengajar anak-anak mengenal huruf dan cepat membaca di awal usia.
Antaranya, kad imbas, buku latihan, perisian komputer mahupun alat mainan yang turut menggabungkan kemahiran motor halus iaitu koordinasi otot-otot kecil di tangan, jari serta pergelangan tangan.
Harus diingat, pemilihan alat bantu mengajar ini mestilah sesuai dengan umur anak-anak dan memerlukan pemantauan daripada ibu bapa atau orang dewasa.

Membaca bersama anak-anak

WALAUPUN sibuk bekerja, namun ia bukanlah alasan untuk ibu bapa tiada masa membaca buku bersama anak-anak. Amalan membaca perlu dipupuk sejak kecil supaya minat itu tumbuh bagi menjadikan mereka insan yang dahagakan ilmu.
Aktiviti membaca ini tidak perlu lama, mungkin pada peringkat awal anda boleh bacakan buku cerita sebelum mereka tidur. Ibu bapa juga boleh meminta anak-anak membaca sambil bercerita. Ia sedikit sebanyak dapat meningkat keyakinan diri dan melancarkan sebutan perkataan dengan betul.

Tetapkan waktu membaca setiap hari

SELEPAS anak-anak sudah terbiasa dengan aktiviti membaca, tetapkan waktu bacaan pada setiap hari supaya ia menjadi rutin wajib yang perlu dipatuhi.
Berikan sedikit kelonggaran untuk anak-anak membaca genre kesukaan mereka, tetapi hendaklah di bawah pemantauan ibu bapa.
Jangan lupa untuk berikan pujian di atas kerjasama baik yang diberikan.
Begitu juga apabila anak-anak menunjukkan perkembangan yang baik dan boleh membaca dengan lancar. Berikan mereka semangat dan juga hadiah.

Bersabar dan jangan stres

KESABARAN sangat diperlukan ketika mengajar kerana ia memerlukan kesungguhan dan latihan berterusan untuk mendapatkan hasil diinginkan.
Jika ibu bapa stres, anak-anak turut tertekan dan akan memadam minat mereka.
Pada peringkat awal mengajar, anda tidak boleh terlalu serius atau mendesak mereka untuk belajar berterusan.
Sebaiknya, selang-seli dengan aktiviti yang menghiburkan seperti bermain. Ibu bapa juga perlu sentiasa memuji anak-anak dan tunjukkan kasih sayang kepada mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI