PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio berpuas hati apabila para pemainnya berjaya menang besar 4-0 ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC kelmarin.
Menurut Bidoglio, jentera serangan yang sentiasa bergerak dan mengintai peluang membolehkan penyandang juara itu meleraikan benteng The Cop untuk mencipta jaringan.
“Pada awal permainan kita bergelut untuk mengatur gerakan setelah pihak lawan ‘berkampung’ di kawasan sendiri dengan dua lapisan benteng pertahanan. Mobiliti pemain berjaya membuka ruang sedikit demi sedikit untuk melakukan penetrasi ke dalam kotak penalti.
“Kesabaran dan disiplin pemain wajar diberikan pujian malah setiap pemain tahu peranan masing-masing. Hasilnya, kita berjaya meledak dua gol pada babak pertama dan menjadikan permainan lebih terbuka,” katanya.
Menurut pengendali yang menjangkau usia 57 tahun itu, kemenangan itu juga menjadi pembakar semangat bagi mengharungi dua aksi penting Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), pertengahan bulan ini.
Katanya, JDT akan berdepan kelab Liga Australia, Central Coast Mariners di Stadium Industree Group, Selasa depan sebelum melayan kunjungan kelab Liga Korea, Pohang Steelers di Stadium Sultan Ibrahim, pada 18 Februari ini.
Tambahnya, kemasukan tiga muka baharu iaitu pemain pertahanan, Alvaro Gonzalez, Roque Mesa (tengah) dan Jonathan Viera (penyerang) tepat pada masanya untuk memperkuatkan pasukan bagi mengharungi kempen tersebut.