KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KPDN KL) menerima sebanyak 10,034 aduan pelbagai isu daripada orang awam sepanjang tahun 2024.
Timbalan Pengarah KPDN KL, Nurul Syarina Md. Anuar berkata, pihaknya telah membuat serbuan ke atas 1,701 premis perniagaan di ibu negara.
Katanya, ia berdasarkan statistik penguatkuasaan di bawah Op Tiris 3.0, ia melibatkan barang kawalan seperti diesel, petrol, gas petroleum cecair (LPG), minyak masak, gula pasir kasar dan tepung gandum.
“Dari jumlah tersebut, sebanyak 11 kes melibatkan barang kawalan telah dihasilkan dengan jumlah nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM 644,078.30 dan seramai 19 individu telah ditangkap.
“Untuk rekod dalam sistem e-Aduan KPDN WKL juga mendapati sebanyak 10,034 jumlah aduan telah diterima daripada orang awam,” katanya ketika sidang akhbar selepas Program Advokasi Kita Gempur di Pejabat KPDN KL, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, KPDN mengesan beberapa modus operandi khususnya ketirisan minyak peket yang berlaku di banyak peringkat melibatkan pembungkus kepada pemborong, pemain industri dan sebagainya.
“Selain itu, kita juga kesan mengenai peniaga LPG yang tidak mempunyai lesen. Bagi minyak masak peket, ketirisan berlaku di banyak peringkat,” ujarnya.
Jelasnya, program advokasi ini adalah untuk menjalin kerjasama dalam memperkasakan inisiatif Kita Gempur selain memastikan aktiviti penguatkuasaan di bawah Op Tiris 3.0, Omnipresence dan aktiviti lain untuk diambil tindakan segera.
“Kita perlukan semua (agensi) memberi aduan dengan kelebihan agensi yang ada, mereka ada sumber yang lebih besar yang mana boleh mempercepatkan proses (tindakan). Kita tidak boleh biarkan mereka bersenang-senang dengan barangan bersubsidi.
“Orang awam yang mempunyai maklumat juga boleh lapor kerana kita mahukan maklumat tepat supaya tindakan segera boleh diambil. Berdasarkan makluman, aduan melibatkan barang kawalan tidak cecah 10 peratus,” jelasnya.
Tambahnya, kesalahan paling tinggi di ibu negara adalah melibatkan premis tidak mengemaskini buku stok yang menunjukkan pembekalan dan pengedaran barangan di pasaran.
“Kegagalan mengemaskini buku stok, kita boleh mengesan mungkin berlaku ketirisan dalam perniagaan mereka. Apabila kita menyiasat dan didapati ada kesalahan, siasatan menjurus kepada secara kompaun atau pendakwaan.
“Bagi kompaun, amaun tidak rendah yang mana ia bergantung kepada siasatan dan jika syarikat didapati bersalah dendanya mencecah RM5 juta. Jika kita dapati ada unsur penyelewengan bersindiket, kita jalankan siasatan dibawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA),” ujarnya.- KOSMO! ONLINE.