fbpx

JSJN Perak rekod 2,293 tangkapan sejak Januari lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZULKAFLI (empat dari kanan) menunjukkan barang rampasan oleh JSJN Perak ketika membuat tangkapan berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah di negeri ini sejak Januari lalu.

IPOH – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Perak merekodkan 2,293 tangkapan atas pelbagai kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah sejak Januari hingga semalam.

Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, sepanjang tempoh itu, pihaknya berjaya merampas 38.6 kilogram (kg) dadah membabitkan nilai rampasan sebanyak RM770,766.96.

Malah katanya, JSJN juga berjaya membuat sitaan dengan nilai keseluruhan sebanyak RM748,855.95.

“Daripada keseluruhan tangkapan yang dilakukan, seramai 269 individu ditahan bagi kesalahan pengedaran dadah, 802 orang pula bagi kesalahan memiliki manakala 1,215 orang lagi positif dadah selain tujuh orang ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas).

“Dadah yang dirampas ialah 3,094.38 gram (g) syabu, ketamin (1,379.96g), pil ekstasi (2,848.65g), pil yaba (5.06g) dan erimin 5 (1,340g) selain dadah tradisional iaitu ganja (306.49g) dan heroin (29,611.14g),” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Menurut beliau, seramai 87 tangkapan yang dibuat telah dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 39 C Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Katanya, kawasan jirat Cina, semak dan flat tinggal merupakan antara ‘port’ atau sarang penagihan dadah yang digempur polis dalam operasi itu.

“Misalnya di kawasan jirat Cina di Tanjung Rambutan, kita berjaya menahan tujuh individu selain dua lelaki yang berperanan sebagai ‘penjaga air’ bagi memantau laluan keluar masuk ke lokasi selain mengesan pergerakan mencurigakan pihak berkuasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI