PETALING JAYA – Jemaah Menteri bersetuju bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) boleh memberikan nasihat kepada umat Islam berkaitan keperluan menjaga akidah dalam menghadiri majlis di rumah ibadat bukan Islam.
Menerusi kenyataan bersama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar dan Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Jelas kenyataan itu, ia susulan kekeliruan yang timbul berhubung cadangan garis panduan mengenainya.
Namun, kerajaan menegaskan bahawa nasihat tersebut tidak bersifat dasar.
“Mesyuarat telah meneliti mengenai kekeliruan berkaitan cadangan tersebut.
“Perkara ini berbangkit susulan beberapa pertanyaan daripada umat Islam tentang jemputan ke majlis anjuran masyarakat bukan Islam yang mungkin melibatkan unsur-unsur keagamaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Namun ujar kenyataan itu, Jemaah Menteri berpandangan bahawa setiap dasar yang dirangka perlu mengambil kira aspek perpaduan nasional serta mendapatkan kelulusan Kabinet terlebih dahulu.
Menurut kenyataan itu, kerajaan menyedari kepentingan keharmonian antara penganut pelbagai agama dan menegaskan bahawa sebarang isu berkaitan akan dibincangkan lebih lanjut dalam Mesyuarat Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK HARMONI).
“Mesyuarat JK HARMONI Bil 1/2025 turut dijadualkan pada bulan ini akan mendengar segala pandangan ahli-ahli yang terdiri 24 wakil penganut agama (Islam, Buddha, Hindu, Kristian, Sikh, Tao, Baha’i).
“Kementerian Perpaduan Negara akan terus menyemarakkan pelaksanaan Dialog Harmoni bagi memperkukuhkan keharmonian dan menggalakkan interaksi antara penganut pelbagai agama di negara ini.
Tambah kenyataan itu, Malaysia sebagai negara majmuk telah lama menjadi contoh perpaduan kepada dunia dan Kerajaan Madani komited memastikan kestabilan serta keharmonian rakyat terus terpelihara. – KOSMO! ONLINE