PETALING JAYA – Sektor inap desa atau homestay berpotensi besar dalam meningkatkan pendapatan dan taraf hidup masyarakat luar bandar di negara ini.
Sehubungan itu, pemerkasaan sektor inap desa antara persiapan kerajaan dalam menyokong Kepengerusian ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Institut Kemajuan Desa (Infra) malah memperkenalkan kursus khas untuk usahawan homestay dan program TVET homestay.
“Langkah ini amat penting untuk memastikan usahawan desa bersedia mengadaptasi standard antarabangsa dalam pengurusan homestay sekaligus meningkatkan daya saing sektor pelancongan desa negara.
“Sehingga kini, INFRA telah melahirkan 295 graduan TVET Program Homestay, manakala 10,094 peserta kursus telah berdaftar di bawah MOTAC sebagai pengusaha Program Pengalaman Homestay Malaysia (PPHM),” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, Infra berperanan sebagai Pusat Bertauliah TVET bagi program homestay.
Jelas beliau, Infra menawarkan kursus wajib sebagai prasyarat bagi pendaftaran homestay yang sah di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac)
Tambah beliau, Infra pada tahun ini telah merangka pelbagai program bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pengusaha homestay.
Kata beliau, ia termasuk pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Penyeliaan dan Koordinasi Homestay Tahap 3, Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Operasi Homestay Tahap 2, Kursus Pengenalan Homestay, Kursus Asas Homestay dan Kursus Lanjutan Homestay.
“Program-program ini menyasarkan penyertaan seramai 1,000 peserta dalam kalangan usahawan desa yang ingin memperkukuh daya saing dalam industri pelancongan.
“Langkah ini selari dengan misi dan visi KKDW dalam memastikan masyarakat desa terus maju, berdaya saing dan berdaya tahan dalam era globalisasi,” katanya. – KOSMO! ONLINE