fbpx

Hazani bersara selepas 38 tahun berkhidmat bersama PDRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hazani dibawa menaiki kenderaan istiadat pada majlis Paluan Berundur sempena persaraan beliau di Pulapol KL hari ini. -Foto oleh SYAKIR RADIN/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Hazani Ghazali bersara wajib pada 10 Februari ini, selepas 38 tahun bersama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Susulan pengalaman luas dan kepimpinan yang tinggi, Hazani telah dilantik sebagai Ketua Pengarah pada 31 Januari tahun lalu.

Majlis Paluan Berundur di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur hari ini dihadiri pegawai kanan dan isteri masing-masing adalah simbolik penghormatan terakhir buat Hazani yang hadir ditemani isterinya, Datin Seri Fadziah Abdul Hamid serta tiga cahaya matanya.

Turut hadir bersama pasangan masing-masing, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain; Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay; Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan serta Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa.

Majlis yang bermula pada pukul 5.30 petang itu, diserikan dengan persembahan Pancaragam Pusat PDRM dengan Hanzali diberi penghormatan memimpin persembahan dengan diserikan nyanyian ‘Street of Dreams’.

Hazani yang dilahirkan pada 10 Februari 1965 di Machang, Kelantan telah melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat Sarjana dalam Pentadbiran Perniagaan di Kuala Lumpur Metropolitan University College (KLMU) dan memegang beberapa kelulusan akademik termasuk Diploma Sains Kepolisan.

Pengalaman beliau selama 38 tahun di dalam perkhidmatan, dengan meniti tangga kerjaya sebagai Pegawai Pemerintah Platun (BN 14 Kuching) pada tahun 1988, diteruskan dari Pegawai Gerakan (UTK, Bukit Aman) bermula 1989 sehingga 2002.

Beliau diangkat menjadi Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Kementerian Dalam Negeri (2017–2020), Pesuruhjaya Polis Sabah (2020–2021) dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman (2021-2024).

Antara kejayaan yang dikaitkan dengan beliau sebagai Pegawai Kanan Polis adalah termasuk Pengukuhan Langkah Keselamatan, beliau berperanan dalam memastikan sumber dan aset keselamatan negara digunakan secara efektif untuk membanteras ancaman keselamatan seperti keganasan, ekstremisme dan kegiatan subversif.

Di bawah kepimpinan beliau, PDRM berjaya menumpaskan beberapa kegiatan militan dan aktiviti pencerobohan terutama di negeri pantai timur Sabah melalui Operasi Bersepadu dengan Agensi Keselamatan.

Beliau berjaya memupuk momentum kerjasama dengan agensi keselamatan lain seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), ESSCOM dan agensi penguatkuasaan lain untuk memastikan keselamatan negara terjamin dan menangani ancaman di Kawasan Zon Merah.

Semasa bertugas di Sabah sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah, beliau memainkan peranan besar dalam menangani ancaman pencerobohan, penyeludupan dan jenayah rentas sempadan yang sering menjadi perhatian di kawasan tersebut seterusnya memperkukuh keselamatan negara, menangani ancaman keganasan, serta mengetuai operasi membanteras jenayah rentas sempadan.

Hasil daripada sifat kewibawaan, kecemerlangan serta mutu perkhidmatan dan kepimpinan yang ditonjolkan membolehkan beliau menerajui AKPS sebagai Ketua Pengarah di Kementerian Dalam Negeri sejak 1 Januari lalu dengan memegang pangkat Komisioner Polis Turus III.

Sepanjang menerajui AKPS, beliau memainkan peranan penting dalam pewartaan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (Akta 860) dan telah menetapkan dasar operasi yang berjaya merampas barang seludup dengan jumlah ringgit. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI