fbpx

Garis panduan bukan perundangan – Asyraf Wajdi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ASYRAF WAJDI

PETALING JAYA – Garis panduan penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan perayaan atau upacara kematian orang bukan Islam bukan bersifat peraturan atau perundangan.

Setiausaha Agong UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia hanya sebagai pedoman dan pencerahan ilmu untuk memahami batasan dan sempadan dalam menyertai upacara perayaan dan ibadah agama lain.

Kata beliau, garis panduan itu harus dilihat sebagai suatu yang positif untuk bukan Islam supaya sensitiviti umat Islam terhadap satu-satu amalan ritual yang boleh menjejaskan akidah dapat difahami dan dihormati.

“Justeru, tidak perlulah isu ini terus dipolemikkan kerana setiap warga Malaysia mesti teruskan budaya hormat-menghormati dan bertoleransi dalam mengamalkan agama dan budaya masing-masing yang selama ini menjadi teras kekuatan dan keunikan Malaysia sebagai negara majmuk.

“Buat pemimpin-pemimpin parti politik pula terutamanya dalam kalangan bukan Islam termasuk DAP, MCA dan Gerakan yang tampak begitu teruja untuk bersaing dalam mengeluarkan kenyataan, nasihat saya serahkanlah hal ehwal agama seperti ini kepada pihak berautoriti untuk membahaskannya secara ilmiah.

“Akhirnya, semua harus hormati kedudukan Majlis Raja-Raja Melayu yang berkuasa mutlak dalam menentukan apa jua hal yang berkaitan dengan hal-ehwal dan kepentingan Agama Islam,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Terdahulu, Asyraf Wajdi berkata, semua pihak harus hormati dan terbuka dengan garis panduan yang sedang dibangunkan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) tersebut.

Kata beliau, garis panduan itu penting kepada umat Islam sebagai suatu asas yang menjadi parameter dan pedoman bagi memastikan ada pencerahan mengenai batasan tertentu dalam apa jua bentuk amalan yang melibatkan perayaan dan ritual agama agar tidak sampai menjejaskan akidah yang menjadi teras keimanan seseorang.

“Contohnya: Tiada masalah menghadiri upacara perayaan sesuatu agama sebagai manifestasi keharmonian hidup antara agama yang diamalkan selama ini. Namun, batasan menyertai ibadah ritual tertentu yang boleh menjejaskan akidah seseorang perlu dijadikan panduan untuk umat Islam,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI