KOTA BHARU – Penganjuran Duo International Muay Thai Fight 2025 di Padang Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Beris Kubur Besar, Bachok, dekat sini esok menggabungkan pertandingan seni bela diri Muay Thai dan persembahan dikir barat dalam satu acara.
Pertandingan yang berlangsung bermula pukul 9 malam itu mampu menarik perhatian peminat sukan seni mempertahankan diri dari seluruh negara sekali gus menjadikan Kelantan sebagai hab utama perkembangan Muay Thai di negara ini.
Penganjur Duo International Muay Thai Fight 2025 berkata, kejohanan itu diisokong sepenuhnya oleh Duo Sport dengan kerjasama Persatuan Muaythai Negeri Kelantan dalam usaha untuk memperkukuhkan imej sukan Muay Thai ke peringkat global.
Menurutnya, penonton disajikan dengan tujuh pertarungan iaitu Akmal Rizal menentang Cheot Yao Zong, Daniel PLN Kelantan melawan Amzar Raja Lebah Kedah dan Amin Muay Thai ATM bertembung dengan Epul Muay Thai Merican.
“Selain itu, Sham Anak Kapak PDRM akan menentang Hakim Red Wolves, Izat Zaki akan berentap dengan Aiman Kuda Putih, Paid GC Turbo melawan Jordan Boy dan pertarunyan akhir antara Sabri Thaivisix menentang Putra Abdullah.
“Selain mengetengahkan bakat-bakat tempatan, acara itu juga bertujuan untuk memupuk perpaduan komuniti melalui sukan dan budaya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut pihak penganjur, penonton turut disajikan dengan persembahan kumpulan dikir barat iaitu Kumpulan Sirat Maharaja, Fandi Kelani, Den Manji, Irfan Mutiara Biru, Farid Endoro, Joe Ranjuna, Amran DBA, dan Faizal Cenderawasih.
Katanya, penonton juga berpeluang memenangi cabutan bertuah bernilai RM70,000 melalui pembelian baju edisi khas. – KOSMO! ONLINE