MANCHESTER – Manchester United meletakkan tanda harga berjumlah £80 juta (RM442.53 juta) untuk pasukan yang berminat mendapatkan khidmat pemain mudanya, Kobbie Mainoo.
Seteru United di Liga Perdana Inggeris, Chelsea dilapor meningkatkan minat mereka untuk mendapatkan khidmat Mainoo yang memiliki kontrak di Old Trafford sehingga 2027 selain turut berminat untuk menandatangani Alejandro Garnacho.
United masih terbuka untuk melepaskan khidmat Garnacho pada musim panas nanti, namun tidak menolak kemungkinan membenarkan Mainoo pergi sekiranya menerima tawaran yang berbaloi.
Selain tanda harga yang diletakkan untuk Mainoo, United mengesahkan bahawa mereka tidak berganjak daripada nilai £70 juta (RM387.22 juta) untuk mana-mana kelab yang mahukan Garnacho termasuk Napoli juga dikaitkan sebelum ini.
Skuad kendalian Ruben Amorim dilapor berusaha untuk melepaskan beberapa prospek utama mereka untuk mengelak daripada pelanggaran Peraturan Keuntungan dan Keseimbangan (PSR).
Langkah penjualan pemain-pemain berkenaan juga dianggap signifikan yang perlu dilakukan kelab itu bagi membolehkan Amorim membawa masuk beberapa pemain yang diinginkan selepas United gagal mempamerkan aksi cemerlang musim ini.
Jendela perpindahan musim sejuk lalu menyaksikan United hanya membawa masuk pemain pertahanan Lecce, Patrick Dorgu dengan nilai perpindahan £29.2 juta (RM161.52 juta), manakala turut berjaya membawa masuk pemain muda Arsenal, Ayden Heaven. – AGENSI