BANGKOK – Empat warga Israel dikenakan denda 3,000 baht (RM366) selepas mencetuskan huru-hara dan memasuki bilik kecemasan tanpa kebenaran di sebuah hospital di Thailand, lapor portal berita Thaiger semalam.
Kejadian berlaku di Hospital Pai dalam wilayah Mae Hong Son pada 2 Februari lalu.
Seorang doktor berkata, empat lelaki itu tiba di hospital bersama seorang rakan mereka yang cedera akibat kemalangan membabitkan motosikal.
“Mangsa dikejarkan ke bilik kecemasan untuk rawatan lanjut. Mereka cuba mengikut rakannya tetapi dihalang oleh doktor kerana bilik itu hanya boleh diakses oleh pegawai perubatan.
“Tidak lama kemudian, salah seorang lelaki membuka pintu bilik menyebabkan kerja-kerja doktor terganggu dan menghalau mereka,” katanya.
Situasi bertambah tegang apabila kumpulan itu mengamuk dan menengking pegawai yang bertugas.
Mereka ditahan oleh pengawal keselamatan sebelum dibawa ke balai polis berhampiran. – AGENSI