LONDON – Pengendali Newcastle United, Eddie Howe percaya perubahan formasi yang dilakukan dengan menggunakan taktikal ‘parkir bas’ membuahkan hasil apabila berjaya mara ke pentas final Piala Liga Inggeris (EFL) dengan mewaskan Arsenal awal pagi semalam.
Pada aksi separuh akhir kedua itu, Howe menggunakan lima pemain pertahanan untuk mempertahankan kelebihan 2-0 yang dimiliki sebelum berjaya meraih kemenangan 4-0 secara agregat dengan tambahan gol menerusi Jacob Murphy dan Anthony Gordon.
Menurut Howe, perancangan taktikal yang genius memastikan The Gunners tidak dapat beraksi seperti biasa sehingga berada dalam keadaan tertekan untuk bangkit sepanjang perlawanan.
“Kita memang mahu berikan tekanan kepada dua pertahanan lawan, William Saliba dan Gabriel untuk memastikan mereka melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya.
“Selain itu, saya juga mengingatkan barisan pemain untuk tidak melakukan kesilapan kerana ia boleh menghukum pasukan kerana Arsenal merupakan pasukan yang hebat.
“Secara jujur, saya hanya fikirkan mengenai perubahan taktikal pada awal minggu ini dan sangat gembira pemain semua dapat menyesuaikan diri dengan mudah.
“Mungkin pengalaman beraksi di Liga Juara-Juara Eropah (UCL) sebelum ini memudahkan pasukan untuk kembali beraksi di Stadium Wembley buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun.
“Saya rasa kita layak untuk beraksi ke pentas final kerana kita menentang empat kelab hebat sepanjang kempen Piala EFL musim ini dan harap pasukan lebih bersedia untuk menamatkan penantian bergelar juara nanti,” katanya.
Sebagai rekod, kali terakhir Newcastle mara ke pentas final Piala EFL adalah pada edisi 2023 sebelum tewas 0-2 kepada Manchester United di Wembley.
Sementara itu, Gordon berharap rakan-rakan sepasukan kekal bersikap rendah diri bagi memastikan misi untuk bergelar juara dapat direalisasikan pada musim ini.
“Buat masa ini kita masih belum menang apa-apa dan aksi final masih lagi jauh. Kita perlu kekal rendah diri.
“Apa yang pasti, pujian wajar diberikan kepada jurulatih yang membuat percaturan tepat untuk memastikan pasukan melakukan tekanan sepanjang perlawanan,” katanya. – AGENSI