PETALING JAYA – Sebuah resort yang dahulunya gah dan antara yang tercantik di sebuah pantai di Kelantan dikenali sebagai Villa Danialla kini tidak ubah seperti ‘rumah hantu’.
Menerusi perkongsian di laman Facebook Haslin Nasuha, kelihatan resort berkenaan sudah terbiar dengan pelbagai kerosakan pada struktur bangunan.
Selain itu juga, menerusi klip video yang dikongsi wanita itu, resort yang berhampiran pesisir pantai itu juga teruk mengalami hakisan.
Difahamkan, sebelum ini resort berkenaan pernah di senaraikan untuk dijual pada harga lebih RM20 juta, namun setakat ini tiada pembeli yang berminat.
Sebelum ini, resort berkenaan juga antara penginapan yang sering dikunjungi artis mahupun VVIP apabila berkunjung ke Kelantan.
Menjengah ke ruangan komen, ada pengguna mendakwa bahawa pemilik asal resort berkenaan telah meninggal dunia dan tidak ada pewaris yang sanggup menguruskan pusat peranginan itu.
“Owner (pemilik) asal dah meninggal. Pewaris tak mahu ambik alih dah. Anak perempuan duduk luar negara. Hari tu nak jual berapa juta dah, tak tau ada ore beli ke tak,”tulis Zaza Zali.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Nor Shazwani Shamsuddin.
“Hari tu nak jual. Mungkin tak ada orang nak beli sebab tak berbaloi. Mahal tapi hakisan. Bilik dia dulu memang comel dan mahal. Tapi masa bukak pun tak jaga,”ujarnya.
Villa Danialla Beach Resort dibina di atas tanah berkeluasan 3.4 hektar itu mempunyai 79 bilik, dua dewan dan satu kolam mandi yang bernilai RM24 juta.-KOSMO! ONLINE