JOHOR BAHRU – Seorang lelaki mengalami kerugian kira-kira RM157,000 apabila barang kemas miliknya disyaki dikebas dalam kejadian di Taman Harmoni, Skudai di sini dalam kejadian pada Sabtu lalu.
Lelaki berusia 32 tahun itu menyedari barang kemas miliknya yang disimpan di tempat sembahyang di kediamannya lesap kira-kira pukul 8 malam sebelum membuat laporan polis tiga jam kemudian.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, susulan itu, hasil siasatan awal mendapati tiada kesan pecah rumah di kediaman pengadu.
Katanya, susulan itu pihaknya membuat enam tangkapan di kawasan Skudai pada Isnin lalu terdiri daripada empat remaja lelaki berusia 17 dan 18 tahun serta dua wanita masing-masing berusia 32 dan 42 tahun.
“Polis berjaya membuat rampas pelbagai barang kemas termasuklah tiga utas rantai leher, dua utas gelang tangan, satu bentuk cincin, tiga kerabu hidung, enam pasang anting-anting dan dua loket subang.
“Turut dirampas ialah tujuh keping resit pajak gadai serta sekeping resit belian balik dan kesemua barang kemas yang dirampas itu bernilai kira-kira RM70,000,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Balveer Singh berkata, hasil semakan ke atas keenam-enam individu terbabit mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Ujarnya, kesemua suspek direman selama empat hari berakhir esok untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.-KOSMO! ONLINE