fbpx

Agrobank sasar 80,000 peserta Kempen Mega Million 2.0

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin (belakang, lima dari kiri) bergambar bersama para pemenang pada Majlis Penyerahan Hadiah Kempen Mega Million 2023/2024 dan Majlis Pelancaran Kempen Mega Million 2.0 di Mydin USJ, di sini hari ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO

SUBANG – Agrobank menyasarkan Kempen Mega Million 2.0 yang berlangsung dari 1 November lepas hingga 31 Oktober 2025 akan menarik kira-kira 80,000 penyertaan susulan kejayaan kempen serupa tahun lalu.

Kempen Mega Million 2.0 menawarkan hadiah menarik termasuk Mitsubishi Xpander, Proton S70, Perodua Myvi dan hadiah utama, Ford Ranger Raptor buat pelanggan produk Agrobank termasuk AgroPrimaS, AgroPerdana-i PLUS, AgroCash-i, Hartani-i, Takaful Kasih Plus, Agro Madani, Agro Nurani, Penulisan Wasiat, dan Motor Takaful.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, Kempen Mega Million 1.0 telah mencatatkan kejayaan memberangsangkan dengan peningkatan positif dalam kebanyakan produk Agrobank yang terlibat, malah melepasi sasaran yang ditetapkan.

Jelasnya, kempen tahun lalu telah berjaya mencatatkan pembukaan lebih 54,000 akaun baharu, dengan nilai deposit melebihi RM290 juta.

“Selain berpeluang memenangi hadiah lumayan, Kempen Mega Million 2.0 turut menggalakkan amalan pengurusan kewangan yang bijak melalui budaya menabung untuk masa hadapan.

“Produk-produk yang ditawarkan telah direka khusus untuk memenuhi keperluan kewangan pelbagai peringkat kehidupan merangkumi perkhidmatan simpanan, perlindungan, dan pembiayaan sama ada untuk individu mahupun keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Hadiah Kempen Mega Million 1.0 Pusingan 4 di sini, hari ini bertujuan untuk meraikan para pemenang bulanan (Julai, Ogos dan September 2024) dan pemenang Cabutan Pusingan 4.

Majlis sama turut menyaksikan seorang pekebun kecil, Lee Tian Look, 65, dari Maran membawa pulang sebuah kereta Tesla Model Y.

Katanya ketika ditemui pemberita, dia telah menjadi pelanggan Agrobank selama lebih 30 tahun dan teruja untuk memenangi hadiah tersebut.

“Saya merancang untuk bawa kereta ini bersiar-siar di sekitar Kuala Lumpur dan Pahang bersama cucu. Lagipun kereta ini dapat menjimatkan petrol,” ujarnya.

Sebagai sebuah Institusi Kewangan Pembangunan, Agrobank terlibat secara aktif dalam pertumbuhan dan pembangunan industri pertanian di Malaysia dengan menawarkan produk serta solusi kewangan yang patuh syariah merentasi pelbagai segmen pelanggan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI