BANGKOK – Pasukan Pengawal Sempadan (BGF) Myanmar menyerahkan 61 mangsa warga asing termasuk dari Malaysia yang diperdaya untuk bekerja di pusat panggilan palsu dan rangkaian pemerdagangan manusia kepada kerajaan Thailand, lapor portal berita The Nation semalam.
Timbalan Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai menerima mangsa-mangsa itu di Jambatan Persahabatan Thailand-Myanmar 2, Mae Sot, wilayah Tak, di Thailand.
Jabatan Imigresen negara itu kemudian melakukan pemeriksaan bagi menentukan sama ada mereka ialah mangsa pemerdagangan atau mempunyai sebarang kaitan dengan rangkaian pemerdagangan manusia.
“Thailand bersedia menerima anda semua.
“Kami telah berkoordinasi dengan kedutaan negara masing-masing dan jika tiada isu lanjut timbul selepas pemeriksaan, anda akan dihantar pulang,” kata Phumtham.
“Sila bertenang dan bekerjasama dengan berkongsi maklumat sebanyak mungkin. Maklumat anda akan membantu aktiviti ini ditumpaskan,” kata Phumtham kepada mangsa-mangsa itu.
Mangsa itu terdiri daripada 39 warga China, Kazakhstan (1), Indonesia (5), Ethiopia (1), Pakistan (1), Malaysia (1) dan India (13).
Penyerahan itu pada asalnya dijadualkan diadakan pada 29 Januari lalu, bertepatan dengan lawatan Pembantu Menteri Keselamatan Awam China, Liu Zhongyi ke Mae Sot, wilayah Tak, Thailand.
Bagaimanapun, ia ditangguhkan kerana kelulusan daripada kerajaan Myanmar di Nay Pyi Taw masih belum diperoleh. – AGENSI