GEORGE TOWN – Seramai 18 sekeluarga kecewa apabila menjadi mangsa penipuan sebuah agensi yang menawarkan pakej umrah eksklusif sejurus menjejak kaki ke Tanah Suci, baru-baru ini.
Menurut salah seorang mangsa, Mohd. Hilmi Che Rose, 40, dia bersama 18 ahli keluarga berlepas ke Mekah pada 23 Januari lalu dan telah pulang ke Pulau Pinang pada 3 Februari lalu dengan perasaan kesal akibat ditipu agensi tersebut ketika mereka berada di Mekah dan Madinah.
Katanya, mereka membayar antara RM8,590 hingga RM8,890 seorang bagi pakej yang dijanjikan lengkap dengan penginapan hotel di Mekah Tower berhampiran Masjidil Haram, serta kemudahan lain.
“Namun, selepas bayaran penuh dibuat yang berjumlah hampir RM150,000 bagi 18 orang, kami dimaklumkan berlaku perubahan mendadak pada saat akhir iaitu sehari sebelum kami berlepas.
“Kami dikenakan caj tambahan RM500 seorang untuk bilik penginapan, bayaran RM100 untuk bagasi yang sepatutnya percuma, serta pemotongan perkhidmatan kereta api laju dua hala yang dijanjikan,” katanya dalam sidang akhbar di perkarangan Balai Polis Bayan Baru, di sini hari ini.
Mohd. Hilmi dan ahli keluarganya bertindak membuat 10 laporan polis terhadap agensi tersebut hari ini dan akan membuat laporan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) berhubung penipuan agensi berkenaan.
Difahamkan, selain keluarga Mohd. Hilmi, terdapat enam lagi jemaah dari luar Pulau Pinang yang turut terkena penipuan agensi umrah itu dan terdapat beberapa lagi trip pakej eksklusif ke Tanah Suci yang ditawarkan agensi tersebut di Facebook yang dikhuatiri berbentuk penipuan. – KOSMO! ONLINE