NEW DELHI – Sekurang-kurangnya 104 rakyat India dihantar pulang dari Amerika Syarikat (AS) dengan menaiki sebuah pesawat tentera, lapor saluran berita televisyen CNN semalam.
Seorang pegawai negeri Punjab berkata, pesawat C-17 membawa pendatang tanpa izin (PATI) terutamanya dari negeri Gujerat, Maharashtra dan Punjab itu mendarat petang kelmarin di bandar Amritsar, barat laut India.
Seorang pegawai AS berkata, ia merupakan penerbangan jarak paling jauh sejak pentadbiran Presiden Donald Trump mula mengarahkan pesawat tentera menghantar PATI pulang ke negara asal mereka.
Beberapa rakan dan keluarga PATI yang pulang memberitahu CNN tentang kesukaran yang mereka hadapi untuk sampai ke AS, namun dihantar pulang selepas berada di Amerika dalam tempoh singkat.
Menurut seorang penduduk dikenali sebagai Manriasat Singh, sepupunya, Akashdeep Singh berusia 23 tahun adalah antara mereka yang berada dalam penerbangan pengusiran itu.
Akashdeep berlepas ke AS tujuh bulan lalu. Dia membelanjakan hampir 5.3 juta rupee (RM269,000) dengan menaiki pesawat dan wang itu diberikan oleh bapanya yang menjual dua pertiga tanah milik mereka, kata Manriasat.
Seorang wanita bernama Kuljinder Kaur berkata, suaminya, Harwinder Singh, 40, telah dihantar pulang dengan penerbangan tentera selepas pergi ke AS pada April tahun lalu untuk mencari peluang kerja lebih baik.
Seorang ejen pelancongan mengenakan bayaran lebih 4 juta rupee (RM203,000) dan berkata, Harwinder akan sampai ke AS dalam masa 15 hari.
Namun, selepas meninggalkan Punjab, Harwinder terpaksa menaiki trak, bot, van dan setiap jenis pengangkutan lain selama 10 bulan. Dia hanya dapat memasuki sempadan AS sekitar 15 Januari lalu dari Mexico.
“Apabila dia menyeberang, dia pergi membeli air dan ditangkap oleh tentera dan dua hari lalu dia diberitahu Trump akan menghantarnya pulang,” kata Kuljinder. – AGENSI