KUALA LUMPUR – Hazama lebih menghargai masa bersama isteri yang juga pengarah muzik, Genervie Kam selepas wanita itu mengalami serangan jantung ringan beberapa bulan lalu.
Hazama atau nama sebenar Hazama Ahmad Azmi, 41, berkata, biarpun disahkan gangguan ritma jantung hanya disebabkan kolesterol tinggi serta keletihan, mereka tetap berjaga-jaga bagi mengelakkan situasi sama berulang.
“Ketika kejadian, isteri saya mengalami degupan jantung laju yang membuatkan saya terus membawanya ke klinik namun doktor merujuk kesnya ke hospital bagi berjumpa pakar.
“Alhamdulillah tiada sebarang sumbatan dikesan, cuma kolesterol sedikit tinggi serta degupan jantung juga agresif mungkin disebabkan kurang rehat.
“Apabila sudah mencecah 40-an, kesihatan fizikal dan mental perlu diberi penekanan. Apapun, keadaan isteri membuatkan kami semakin menjaga antara satu sama. Dah tak mahu berenggang,” katanya selepas majlis pengumuman Konsert By Ajai & Mega Friends, baru-baru ini.
Menurut penyanyi Di Amaran Mama itu, selepas insiden tersebut Genervie, 45, juga mula mengamalkan gaya hidup sihat terutama mendapatkan tidur dan rehat yang mencukupi.
Malah katanya, isterinya turut mempunyai rutin baru yang dilakukan secara konsisten iaitu mengamalkan senaman harian.
“Alhamdulillah sekarang keadaannya semakin okey. Walaupun serangan jantung ringan, tentu sahaja saya bimbang apatah lagi dia merupakan teman sejiwa saya.
“Saya boleh patah kaki kalau dia sakit. Kalau sebelum ini saya habiskan banyak masa di studio, boleh dikatakan sekarang kami sentiasa bersama, dah macam belangkas,” katanya.
Hazama dan Genervie juga pemain biola terkemuka mendirikan rumah tangga pada 14 Januari 2017. – KOSMO! ONLINE