MELAKA – Seorang anggota tentera berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal dan persetubuhan luar tabii ke atas kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, bulan lalu.
Tertuduh, Steve Jeff Anak Gansol, 30, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Haderiah Siri.
Mengikut pertuduhan pertama, Steve Jeff didakwa mengikut Seksyen 14 (A) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa.
Tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii ke atas mangsa sama tanpa kerelaannya.
Kesalahan dilakukan pada pukul 8.21 pagi di dalam sebuah bilik di Kem Terendak, Sungai Udang pada 30 Januari 2025.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ali Hussain mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 berserta syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa dan melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan sehingga kes selesai.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 berserta syarat dipohon pendakwaan dan menetapkan 6 Mac ini untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE