KUALA LUMPUR – Terlepas sebutan pertama kes permohonan cerai isterinya, pelakon Beego memaklumkan tidak menerima sebarang notis berkenaan prosiding mahkamah syariah dari peguam Linda Hashim.
Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 45, mengakui terkejut dengan kenyataan dikeluarkan Linda ketika ditemubual media di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pagi tadi.
Salam semua, terkejut pagi tadi mendengar kenyataan isteri yang saya (telah) dimaklumkan tentang kes mahkamah.
“Tidak ada pemberitahuan dan notis dari pihak guaman Nurul (peguam syarie yang mewakili isteri),” katanya menerusi hantaran dalam Instagram.
Pada perkongsian sama, bekas anggota kumpulan Phynne Ballerz turut berharap ada peguam yang dapat mewakilinya untuk kes terbabit.
“Ada mana-mana peguam yang boleh mewakili saya? Allahuakhbar,” ujarnya.
Terdahulu, Linda atau nama sebenar Norhazlinda Hashim, ,41, hadir di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur hari ini bagi sebutan pertama permohonan perceraiannya.
Bagaimanapun, suaminya tidak hadir dan difahamkan berada di luar kawasan.
Dakwa Linda, dia sudah pun menghantar notis kehadiran mahkamah kepada Beego selepas memfailkan cerai awal Januari lalu.
Linda memfailkan permohonan cerai buat kali ketiga terhadap suaminya atas alasan sudah tiada persefahaman.
Pada Mei 2023 pasangan terbabit hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak susulan mencapai kata sepakat untuk rujuk semula pada 9 April 2023 selepas bercerai pada 27 Mac 2023.
Sebelum ini aktres itu turut mendedahkan dia dan Beego pernah bercerai kali kedua selepas beberapa bulan mereka kembali rujuk iaitu pada April 2023.
Namun dia mengakui tidak berkongsi perceraian kedua kepada umum kerana bimbang dianggap mempermainkan perkahwinan.
Terdahulu, mereka mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 dan hasil perkahwinan tersebut dikurniakan tiga cahaya mata, Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6. – KOSMO! ONLINE