KOTA TINGGI – Letih dan fobia berdepan bencana banjir tiga kali dalam tempoh dua bulan, itulah perasaan mangsa banjir di Kampung Baru Sungai Mas di sini.
Penduduk, Manja Mohd. Noar, 59, mendakwa sudah tiga kali banjir berlaku dalam masa dua bulan ini dengan gelombang pertama pada Disember lalu sebelum datang gelombang kedua bulan lalu dan kali ini berlaku semalam.
Dia yang tinggal bersama-sama tiga anak dan dua cucu di rumah tersebut sempat menaikkan barang dan perkakas rumah di tempat tinggi.
“Pakaian sekolah untuk cucu juga dapat diselamatkan. Kalau tak kena keluar duit lagi beli pakaian sekolah.
“Banjir kali ini tak macam banjir gelombang kedua, habis barang rumah seperti tilam, kapet dan katil dibuang kerana rosak tak sempat diselamatkan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, dia juga malas untuk memikirkan soal persiapan menyambut Ramadan kerana letih berdepan bencana banjir yang kemungkinan ada gelombang ketiga.
Ibu tunggal kepada tiga anak itu berkata, buat masa ini apa yang mahu dilakukan keluarganya adalah membersihkan rumah dan meneruskan kehidupan dalam keadaan bimbang banjir berlaku lagi dalam masa terdekat.
Seorang lagi penduduk, Amalia Samad, 37, berkata, keluarganya sudah fobia dengan banjir yang kerap berlaku setiap kali berlaku pertembungan air pasang dan hujan atau hujan lebat beberapa jam.
“Setiap kali hujan sahaja kami berasa takut. Kami pun dah penat membasuh rumah dalam masa banjir beberapa kali ini, rumah pun dah kosong.
“Kami harap penempatan baharu yang dijanjikan akan dapat disegerakan,” katanya yang dibenarkan pulang dari PPS ke rumahnya hari ini. – KOSMO! ONLINE