PETALING JAYA – “Saya sedih. Saya sedih kerana parti yang ditubuh untuk menolak percubaan British untuk rampas negeri-negeri Melayu, parti yang memerdekakan Tanah Melayu sekarang sudah jadi parti yang rela meletak diri di bawah parti lain.”
Itulah luahan yang dikongsikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menerusi catatan di laman X beliau hari ini.
Dalam catatan tersebut, Dr. Mahathir meluahkan rasa sedih melihat situasi politik negara ketika ini selain turut mengaitkan dengan kedudukan Tanah Melayu.
“Yang diutamakan oleh wakil orang Melayu ialah kedudukan mereka. Apa akan jadi kepada Tanah Melayu, apa akan jadi kepada anak cucu tidak penting. Yang penting ialah layanan diri.
“Bukan nak rampas hak orang. Hanya mempertahan hak kita. Nak dengar masalah pun tak sanggup,” katanya.
Katanya, ada dalam kalangan wakil rakyat bertindak untuk keselesaan diri sendiri tanpa memikirkan apa yang diperlukan rakyat
“Ini bukan wakil rakyat. Ini wakil ketamakan diri. Pedulikan kesedihan. Syok sendiri,” luahnya.
Dr. Mahathir kembali aktif di X selepas berjaya mendapat semula akaun media sosialnya itu daripada pihak penggodam.
Terdahulu, akaun X milik bekas Ahli Parlimen Langkawi @chedetofficial itu telah digodam dan tidak dapat diakses sejak pagi semalam.
Pegawai kepada Dr Mahathir, Adam Mukhriz Mohd Muhayeddin berkata, dia juga menerima kiriman e-mel daripada aplikasi berkenaan yang turut memaklumkan mengenai kejadian tersebut.
Akaun Dr. Mahathir itu disalah guna dengan memuat naik hantaran iklan berhubung mata wang kripto.
Bagaimanapun, hantaran tersebut telah dipadam daripada akaun terbabit selepas sejam kemudian. – KOSMO! ONLINE