fbpx

‘Saya pujuk, cuba selamatkan perkahwinan ini demi anak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Beego mendedahkan cuba memujuk sekali gus ingin menyelamatkan perkahwinan dengan isterinya, Linda Hashim.

PETALING JAYA – Pelakon Beego masih mahu menyelamatkan rumah tangga kerana masih menyayangi isterinya, Linda Hashim selain berharap menemui jalan damai antara mereka.

Beego ketika dihubungi Kosmo! Online berkata, kes perceraian mendapat perhatian umum bukan perkara yang baik untuk mana-mana pihak ketika ini.

“Saya mahu selamatkan rumah tangga ini kerana masih sayangkan dia dan anak-anak. Kalau boleh tak mahu ada sebarang perkara negatif wujud dalam keluarga kami.

“Mungkin ini kesempatan yang perlu saya ambil untuk memastikan semua kemelut ini dan hubungan kami berdua kembali pulih.

“Saya cuba memujuk dan meminta ruang serta peluang untuk pulihkan rumah tangga kami. Doakan yang baik-baik untuk saya, Linda dan anak-anak,” katanya.

Dalam masa sama, bintang filem Gila-gila Pengantin Remaja itu memberitahu, hubungannya dengan Linda berantakan dan isterinya sudah tidak pulang ke rumah kelamin sejak Oktober lalu.

“Sebenarnya memang terkejut dapat berita ini tentang isteri fail perceraian sebab saya tidak menerima sebarang notis dari mahkamah.

“Memang betul kenyataan isteri bahawa wujud pertelingkahan antara kami sebelum ini dan tidak sebumbung sejak Oktober lalu.

“Linda juga keluar rumah dengan anak-anak dan beri masa untuk dia bertenang tetapi sudah empat bulan dia tak pulang ke rumah,” jelasnya yang sudah berusaha untuk memujuk isterinya.

Beego juga mendakwa Linda tidak menjawab sebarang bentuk komunikasi antara mereka berdua, namun bersyukur masih boleh berhubung dengan anak-anak.

“Saya masih menetap di rumah kelamin seorang diri. Sebenarnya Linda juga memutuskan segala bentuk komunikasi dengan saya.

“Jadi, bila nampak berita hari ini, memang terkejut, ditambah pula sekarang saya berada di Labuan. Dia juga sepatutnya ada di sini atas urusan kerja,” katanya lagi.

Hari ini, Linda ditemani peguamnya, Nurul Fadzilah Kamaluddin hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi untuk mengikuti sebutan kes pertama perceraian dengan Beego.

Sebelum ini, mereka pernah bercerai pada 27 Mac 2023, namun mereka rujuk semula pada 9 April 2023.

Linda turut memaklumkan mereka bercerai kali kedua selepas beberapa bulan rujuk kerana masalah sama iaitu tiada persefahaman walaupun mendakwa sudah banyak kali memberikan suaminya peluang.

Linda dan Beego atau nama sebenarnya, Mohamad Aszerul Nizam Abdullah mendirikan rumah tangga pada Jun 2013.

Hasil perkahwinan mereka dikurniakan tiga cahaya mata perempuan, Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI