KUALA LUMPUR – Menahan malu apabila terpaksa naik turun mahkamah syariah, pelakon Linda Hashim mengakui sudah berusaha menyelamatkan rumah tangga dengan suaminya, Beego.
Linda atau nama sebenarnya Norhazlinda Hashim, 41, berkata keputusan mengajukan permohonan perceraian diambil selepas berfikir panjang namun akur jodoh mereka tidak panjang.
“Saya malu sebenarnya untuk berdiri di sini (mahkamah). Saya malu dengan anak-anak, ahli keluarga, saudara mara dan rakan-rakan media.
“Tiada siapa mahukan perkara seperti ini berlaku. Ini dugaan saya dan Beego. Pertemuan dan perpisahan sudah ditentukan.
“Saya sudah usaha dengan cara saya sendiri, bertemu dengan banyak pihak meminta pandangan tapi mungkin ini adalah jalan terbaik,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, pagi tadi.
Terdahulu, prosiding sebutan pertama perceraian Linda dan suaminya terpaksa ditangguhkan disebabkan ketidakhadiran aktor terbabit.
Menurut peguam mewakili Linda, Nurul Fadzilah Kamaludin, notis tuntutan yang sepatutnya diserahkan pihak mahkamah difahamkan tidak sampai ke tangan Beego.
Berdasarkan mahkamah, sebutan cerai kali kedua kes tersebut dijadualkan bersambung pada 6 Mac depan. – KOSMO! ONLINE