JAKARTA – Pempengaruh (influencer) media sosial, Ammar Mohd Nzahan dan Aras disahkan menghasilkan kandungan palsu berhubung video yang mendakwa seorang lagi rakan mereka, Eykaa hilang di sebuah kawasan hutan di Bandung, wilayah Jawa Barat, lapor laman berita Detik.
Menurut Ketua Polis Panyileukan, Komisioner Kurnia, hasil siasatan pihaknya mendapati, dakwaan tersebut adalah palsu.
“Keterangan Ammar Mohd Nazhan dan Aras menyatakan bahawa mereka melakukan live di TikTok dengan tajuk ‘pempengaruh Malaysia hilang di hutan Bandung selepas buat ‘content’ paranormal’.
“Mereka mendakwa bahawa pempengaruh TikTok bernama Eykaa hilang selama 48 jam selepas melakukan aktiviti paranormal di sebuah hutan di Bandung,” kata Kurnia.
Tambah beliau, kandungan itu dihasilkan kumpulan tersebut untuk meningkatkan jumlah tontonan dan pengikut laman sosial.
“Mereka tidak sedar bahawa negara Indonesia mempunyai undang-undang yang boleh mendakwa kesalahan menghasilkan kandungan palsu dan ia dianggap kesalahan jenayah,” jelas Kurnia.
Katanya lagi, aktiviti kumpulan tersebut dilakukan tanpa izin polis Indonesia.
Bagaimanapun, Kurnia memberitahu bahawa pempengaruh TikTok itu sudah memohon maaf kepada pihak polis.
“Mereka telah membuat surat penjelasan dan mengakui tidak akan mengulangi perbuatan tersebut. Mereka juga ada membuat video penjelasan,” katanya. – AGENSI