fbpx

Peluang terbuka lepasan SPM di 1,398 institusi TVET seluruh negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Terdapat 1,398 institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) merangkumi 673 institusi TVET awam, 697 (swasta) dan 28 institusi TVET di bawah kerajaan negeri.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ekosistem TVET yang dinamik dan luas itu menawarkan pelbagai bidang kemahiran yang relevan dengan keperluan industri dan pasaran kerja semasa.

Beliau yang juga pengerusi TVET berkata, peluang menyambung pengajian dalam bidang tersebut terbuka sepanjang tahun dengan pelbagai pilihan fleksibel melalui Sistem UP_TVET.

“UP_TVET Flexi, yang dibuka sejak Januari 2025, membolehkan individu mengikuti latihan kemahiran secara modular dan anjal, mengikut kesesuaian jadual masing-masing. UP_TVET Perdana bagi Kursus Sepenuh Masa Ambilan Julai 2025 pula akan dibuka untuk permohonan pada April 2025.

“Sebagai peneraju utama dalam pembangunan tenaga mahir luar bandar, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) turut menyediakan pelbagai program TVET yang menepati keperluan industri negara,” katanya dalam satu hantaran terbaru di media sosial hari ini.

Tambah Ahmad Zahid, sebanyak 280 institusi di bawah KKDW menawarkan 529 program dari peringkat Sijil Kemahiran hingga Ijazah Kedoktoran, meliputi 15 kluster bidang kritikal untuk pasaran kerja semasa.

Tambahnya, kerangka Sistem Pendidikan TVET KKDW telah melahirkan ramai tenaga mahir, profesional, teknologis dan usahawan yang berjaya.

“Kadar kebolehpasaran graduan TVET KKDW mencapai 98 peratus pada tahun 2024, membuktikan bahawa TVET bukan sahaja menyediakan peluang pekerjaan yang luas, tetapi juga mampu membentuk masa depan yang lebih cerah.

“Kerajaan komited dalam memastikan akses pendidikan dan latihan kemahiran berkualiti kepada semua lapisan masyarakat. Oleh itu, saya menyeru para pelajar dan ibu bapa agar merebut peluang ini untuk membina kerjaya yang mampan dan berdaya saing,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI