fbpx

Ops Sky: SPRM tidak bekukan akaun bank tiga selebriti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azam bercakap ketika sidang akhbar berhubung perkembangan terkini siasatan Ops Sky di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini. Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR/ KOSMO!

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan pihaknya tidak akan membekukan akaun bank tiga selebriti yang dipanggil berhubung Ops Sky.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, selebriti itu hanya dipanggil membantu siasatan kerana mereka dilantik sebagai ‘influencer’ (pempengaruh) bagi syarikat perunding kewangan yang tumpas dalam Ops Sky itu.

“Saya kena jelaskan bahawa ia tidak ada kena mengena pun dengan akaun mereka. Kita tidak akan bekukan akaun mereka,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, Azam juga mengesahkan tiga selebriti tanah air itu termasuk Datuk Jalaluddin Hassan, Ziana Zin dan Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie Sheikh Mustapha telah hadir ke Ibu Pejabat SPRM pagi ini untuk dirakam keterangan.

Dalam perkembangan sama, Azam berkata, pihaknya tidak mempersoalkan jumlah bayaran diberikan syarikat perunding kewangan kepada selebriti itu dan ia bukan isu utama.

Namun, katanya, jika ia membabitkan jumlah pelaburan besar bagi membayar selebriti berkenaan maka, ia mungkin menimbulkan kemusykilan.

Mengulas perkembangan siasatan Ops Sky itu, Azam berkata, setakat ini, akaun-akaun bank yang dibekukan bersabit Ops Sky mencecah RM18 juta.

Menurutnya, aspek siasatan turut mendedahkan peminjam wang yang kebanyakannya penjawat awam turut digalakkan untuk melabur semula dalam syarikat perunding kewangan berkenaan.

“Ini satu lagi perkara yang kita perlu lihat sama ada ia mungkin melakukan satu lagi kesalahan oleh syarikat berkenaan iaitu pengambilan deposit secara haram,” jelasnya.

Terdahulu dilaporkan, siasatan mendapati selebriti dan artis terbabit menerima wang bayaran hingga RM400,000 untuk tempoh satu hingga dua tahun sebagai duta syarikat itu bagi tujuan promosi.

SPRM baru-baru ini menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank di beberapa institusi kewangan menerusi Op Sky. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI