Mengilat gewang boleh dilakukan sama ada dari bot (boat base) atau dari tebing (land base). Bersyukur sebagai pemancing Malaysia, kita boleh melakukan kedua-dua cara pancingan tersebut dengan mudah kerana lokasi memancing banyak di mana-mana sahaja.
Ada pengilat yang sukakan perairan air tawar seperti parit, lombong dan sungai mencari sebarau, toman, haruan, begahak, tengas dan sebagainya. Ada yang gemar perairan air masin memburu ikan jemuduk (GT), ebek, tenggiri, talang dan lain-lain. Ada yang meminati perairan estuari atau muara yang berair payau menjejak siakap putih, siakap merah, kerapu dan pelbagai lagi.
Bagi saya pula, pilihan utama lokasi mengilat sudah semestinya kawasan muara dengan sasaran ikan siakap putih liar. Tambahan lagi lokasi seumpama itu banyak terdapat di kawasan saya iaitu di sekitar Bandar Diraja Pekan, Pahang.
Menebing
Saya lebih gemar mengilat gewang dari tebing sahaja, pertama kerana cara ini lebih senyap berbanding menggunakan bot yang lebih bising dengan bunyi kipas enjin. Kedua, satu-satu lokasi atau lubuk atau reba yang berpotensi dapat saya melebihkan masa untuk memujuk siakap putih yang bermastautin di sana.
Kalau menggunakan bot, kekerapan bertukar-tukar lokasi lebih tinggi kerana mudah akses ke mana-mana sahaja. Jadi, pemancing biasanya selalu terlepas peluang untuk ‘mengorek’ potensi sesuatu lokasi dengan lebih rapi.
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/02/Pekan-4dddss.jpg)
Harus diingatkan juga apabila anda mengilat dari tebing, cabarannya juga lebih hebat terutamanya ketika melontar gewang dengan halangan dari dahan-dahan pokok serta semak di kawasan anda berdiri.
Kekerapan untuk gewang sangkut ke reba juga lebih tinggi kerana hala renangan gewang balik ke anda semula itu dari kawasan dalam ke kawasan cetek bakal merentangi banyak halangan terutamnya reba. Juga jika gewang tersangkut, ia sukar dilepaskan berbanding jika posisi anda di atas bot kerana bot dapat didayung terus ke tempat yang gewang tersangkut tadi.
Gewang
Kebiasaannya, lokasi mengilat siakap putih pilihan saya ialah kawasan muara yang cetek sahaja. Apabila mengilat di kawasan sebegini, pilihan gewang saya ialah jenis minnow selaman cetek berprofil terapung (floating) atau tenggelam dengan kadar yang amat perlahan (suspending), gewang permukaan (topwater) seperti popper atau pencil saiz kecil dan soft plastic bersaiz tiga inci ke bawah dengan mata kail berladung (jighead) saiz tiga hingga lima gram bersesuaian dengan kelajuan arus sungai.
Gewang-gewang sebegini lebih mudah dikendalikan dari tebing dan kebarangkalian ia sangkut ke reba juga rendah
Sesi mengilat
Untuk menduga siakap putih liar di kawasan sekitar Pekan, Pahang ini, musim paling sesuai berdasarkan rekod tangkapan saya selama ini ialah pada bulan Mac sehingga Oktober. Tiga bulan lalu sebelum monsun iaitu pada penghujung Oktober tahun lepas, seorang sahabat saya bercerita mengenai siakap putih liar di satu kawasan estuari berair cetek.
Lebih 10 tahun juga saya tidak ke lokasi tersebut. Setelah berbincang, kami terus ke lokasi. Untuk sampai ke tebing sungai, kami terpaksa meredah hutan paya bakau sejauh 250 meter. Setelah sampai di lokasi, rakan saya Akim menggunakan popper kecil dan saya menggunakan soft plastic.
Setelah mencuba beberapa kali lontaran gewang, Akim telah memberi isyarat beberapa kali sambaran pada popper dia, tetapi tidak lekat mungkin ikannya saiz kecil. Dia memainkan gewang di permukaan manakala saya pula menghulurkan soft plastic di dasar di tempat yang sama.
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/02/Pekan-8dddss.jpg)
Saya mendapat strike pertama siakap putih anggaran berat 800 gram (g). Setelah bergambar kami meneruskan aktiviti. Selang beberapa minit umpan Akim mengena seekor siakap putih, bila sampai di tebing, ikan tersebut lucut. Tidak berputus asa dia mencuba lagi dan berjaya mendaratkan rakan ikan yang terlepas tadi.
Setelah saya menukar lokasi beberapa kali, kali ini saya berjaya mendaratkan seekor lagi siakap putih yang agak besar menggunakan soft plastic dan seorang lagi rakan saya Irwan berjaya mendaratkan seekor ikan yang sama.
Lokasi dan masa
Apabila sampai ke kawasan pancing, kebiasaannya saya akan mencari lokasi terbaik untuk melontar gewang. Selain memerhatikan reba-reba di dalam air, saya juga harus mempertimbangkan cara penyelesaian untuk mendaratkan ikan bagi mengelakkan berputih mata.
Reba-reba yang menjadi pilihan saya berupa pokok bakau yang telah lama tumbang ke dalam air dan akar pokok bakau menjadi lubuk terbaik untuk siakap putih ini. Pilihan kedua ialah menunggu dan memantau aktiviti ikan siakap putih meligan ikan belanak atau udang di tepi tebing. Hantaran gewang tepat pada waktunya ikan frenzy biasanya tidak mengecewakan.
Masa terbaik untuk memburu siakap putih di kawasan air cetek ini ketika air surut hampir bertahan dan air pasang mula masuk ke sungai. Pernah kami mencuba semasa air pasang, tetapi tiada sebarang sambaran daripada ikan siakap putih.
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/02/Pekan-1ssss.jpg)
Waktu air surut hampir bertahan, terdapat banyak anak-anak ikan belanak dan juga udang berlegar-legar di tepi tebing. Pada masa inilah dapat melihat ikan siakap putih menyambar makanannya. Rekod terberat pernah didaratkan sekitar lima kilogram, paling banyak saiz siakap putih yang berjaya dinaikkan berskala 500g hingga dua kilogram.
Keselamatan
Untuk menduga siakap putih secara menebing di mana-mana lokasi hutan berpaya bakau sekalipun, keselamatan menjadi keutamaan. Bahaya ada di mana-mana sahaja seperti binatang berbisa contohnya, ular dan serangga yang menyengat. Jadi, setiap pancaindera harus selalu berwaspada.
Peralatan seperti pisau atau parang hendaklah dibawa, juga wisel untuk bantuan kecemasan jika anda jauh dari rakan yang lain. Jeritan meminta pertolongan biasanya tidak kedengaran dan berapa lama anda boleh bertahan tenaga untuk menjerit sekuat hati.
Anda juga harus memakai kasut but getah tinggi disebabkan kawasan tebing yang berlumpur dan juga terdapat serpihan kaca dan juga tunas akar pokok bakau. Semasa memancing di tebing, perlu mencari tebing yang kukuh bagi mengelakkan terjatuh ke dalam sungai.